Turkiye tahan 115 suspek Daish rancang serangan tahun baharu

Pegawai keselamatan memaklumkan, penyokong Daish aktif merancang serangan di seluruh Turkiye minggu ini, khususnya terhadap golongan bukan Islam. - Gambar fail Reuters
ISTANBUL: Pihak berkuasa Turkiye mendakwa berjaya menggagalkan rancangan serangan terhadap acara Krismas dan sambutan tahun baharu selepas menahan lebih 100 individu yang disyaki anggota kumpulan Daish.
Menurut pejabat pendakwa raya Istanbul, serbuan besar-besaran dilakukan di 124 lokasi sekitar bandar itu, dengan rampasan senjata api, peluru dan “dokumen organisasi.”
Pegawai keselamatan memaklumkan, penyokong Daish aktif merancang serangan di seluruh Turkiye minggu ini, khususnya terhadap golongan bukan Islam.
Setakat ini, polis menahan 115 suspek, manakala usaha mengesan 22 lagi masih diteruskan.
Pendakwa raya berkata, kesemua suspek dipercayai mempunyai hubungan dengan anggota Daish di luar Turkiye.
Pengumuman itu dibuat dua hari selepas ejen perisikan Turkiye melancarkan serbuan terhadap kumpulan berkenaan di sempadan Afghanistan-Pakistan.
Seorang warga Turkiye yang didakwa memegang jawatan kanan dalam sayap Daish di rantau itu turut ditahan dan dituduh merancang serangan terhadap orang awam.
Perkhidmatan keselamatan Turkiye secara berkala menyasarkan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan Daish.
Negara itu berkongsi sempadan sepanjang 900 kilometer dengan Syria, di mana kumpulan berkenaan masih beroperasi di beberapa kawasan.
Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa yang mempunyai hubungan rapat dengan Ankara berikrar bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan Eropah untuk membanteras baki elemen Daish.
Amerika Syarikat pula melancarkan siri serangan udara terhadap kedudukan Daish di Syria pada Jumaat, susulan insiden pembunuhan tiga rakyat Amerika – dua anggota tentera dan seorang jurubahasa awam – dalam serangan hendap awal bulan ini. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


