[TERKINI] Lagi Kes Serangan Seksual di Sekolah: 4 Pelajar Ditahan di Baling – Klik untuk Laporan Penuh
DUNIA

Turkiye, UK bakal tandatangani perjanjian perdagangan bebas 'generasi baharu'

Bernama 15/10/2025 | 20:30 MYT
Turkiye-UK mahu mudahkan perdagangan perkhidmatan dan pelaburan, memastikan kepastian undang-undang serta mengurangkan kos perdagangan.
LONDON/ANKARA: Turkiye dan United Kingdom (UK) sedang bersiap sedia untuk mengadakan pusingan ketiga rundingan selepas pusingan kedua pada September bagi memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) "generasi baharu" dan komprehensif untuk menggantikan perjanjian sedia ada sejak 2021, lapor Anadolu Ajansi.

Dua pusingan terdahulu memberi tumpuan kepada perdagangan barangan dan isu berkaitan, dasar perdagangan, langkah kesihatan dan fitosanitari, kastam serta pemudah cara perdagangan.

Kedua-dua pihak turut membincangkan pembukaan pasaran baharu bersama untuk produk pertanian, memperluas kerjasama dalam bidang kesihatan dan fitosanitari, serta memperkemas prosedur kastam.

Perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, perkhidmatan perundangan, pengangkutan maritim, perkhidmatan pos dan kurier, serta perdagangan digital - termasuk pemindahan data yang selamat dan perlindungan pelaburan - turut menjadi antara agenda utama.

Turkiye dan UK menyasarkan untuk memudahkan perdagangan perkhidmatan dan pelaburan, memastikan kepastian undang-undang serta mengurangkan kos perdagangan melalui integrasi lebih erat dalam perdagangan digital.

Rundingan turut melibatkan hak harta intelek (IP), peruntukan pentadbiran dan institusi, amalan kawal selia, buruh dan alam sekitar.

Jabatan Perniagaan dan Perdagangan UK berkata pusingan kedua rundingan itu produktif dengan kemajuan positif dalam beberapa perkara termasuk perdagangan digital, perkhidmatan kewangan dan profesional, serta pelaburan.

Kedua-dua pihak juga menegaskan semula komitmen antarabangsa mereka dan mengenal pasti keutamaan bersama dalam pusingan kedua.

Pusingan ketiga rundingan, yang dijadualkan pada November 2025, dijangka akan mengubah FTA sedia ada kepada satu perjanjian "generasi baharu" yang lebih menyeluruh.

UK menjangkakan hubungan perdagangan yang lebih kukuh dengan Turkiye akan meningkatkan peluang pekerjaan dan kemakmuran negara.

Pasaran UK pula dianggap strategik untuk Turkiye, yang mempunyai 69 juta penduduk dan permintaan pengguna yang kukuh.

Jumlah perdagangan tahunan antara Turkiye dan UK mencecah US$22 bilion pada 2024, menjadikan London rakan dagang ketujuh terbesar Ankara, menurut Kementerian Perdagangan Turkiye. Turkiye juga mencatat lebihan dagangan bernilai US$8 bilion dengan UK.

Turkiye kini merupakan rakan dagang ke-16 terbesar Britain, menurut Jabatan Perdagangan Antarabangsa UK.

-- BERNAMA



#Turkiye #United Kingdom #rundingan perdagangan #FTA #fitosanitari