TWITTER akan menyemak semula proses pengesahan pengguna, kata Elon Musk dalam tweet pada Ahad.

Kenyataan itu dikeluarkan hanya beberapa hari selepas beliau mengambil alih antara platform media sosial paling berpengaruh di dunia itu.

"Seluruh proses pengesahan sedang dirombak," kata Musk dalam tweetnya tanpa memberikan butiran lanjut tentang apa yang mungkin berubah.

Dalam pada itu, portal teknologi Platformer pada Ahad berkata Twitter sedang mempertimbang mengenakan bayaran bagi pengesahan 'blue tick' identiti pemegang akaun.

Menurut laporan itu, pengguna perlu melanggan Twitter Blue pada AS$4.99 sebulan atau kehilangan lencana "disahkan" jika projek itu dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc itu belum membuat keputusan muktamad dan projek itu masih boleh dibatalkan.

Namun menurut Platformer, kemungkinan besar ciri pengesahan itu akan menjadi sebahagian daripada Twitter Blue.

Twitter Blue dilancarkan pada Jun tahun lepas sebagai perkhidmatan langganan pertama platform itu yang menawarkan "akses eksklusif kepada ciri premium" termasuk ciri untuk menyunting tweet.

Ciri tersebut juga tersedia awal bulan ini selepas desakan Musk melalui tinjauan umum pada April bertanyakan sama ada pengguna mahukan butang 'sunting'.

Lebih 70 peratus menyatakan "ya".