[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

UAE hantar bantuan perubatan segera untuk mangsa gempa bumi Afghanistan

Bernama 07/09/2025 | 21:00 MYT
Keadaan di sebuah perkampungan di Mazar Dara, wilayah Kunar, Afghanistan, susulan gempa bumi yang melanda beberapa wilayah di negara itu baru-baru ini, 2 Sept 2025. - REUTERS
KABUL: Persatuan Bulan Sabit Merah UAE (ERC) telah menghantar penghantaran pertama bantuan perubatan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menyokong rakyat Afghanistan dan meringankan penderitaan mereka yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda beberapa wilayah baru-baru ini, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha bantuan segera yang diarahkan oleh Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, dengan pemantauan rapi daripada Sheikh Hamdan bin Zayed Al Nahyan, Wakil Pemerintah di Wilayah Al Dhafra dan Pengerusi ERC.

Langkah itu menekankan pendekatan kemanusiaan UAE yang berterusan dalam membantu komuniti yang dilanda bencana.

Penghantaran bantuan itu mencerminkan komitmen negara berkenaan untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di seluruh dunia, selaras dengan prinsipnya untuk menggalakkan solidariti global dan kepimpinan dalam bantuan kemanusiaan.

Pasukan operasi bersama memulakan tugas sejurus tiba di Afghanistan pada Rabu lalu, dengan menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan dan institusi kesihatan untuk mengagihkan bekalan dan membantu mengukuhkan keupayaan sektor perubatan bagi menangani kesan selepas bencana itu.

-- BERNAMA



#bantuan kemanusiaan #UAE #gempa bumi #Afghanistan