Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

UAE, Jordan tegaskan semula sokongan terhadap hak rakyat Palestin

Bernama 07/09/2025 | 22:00 MYT
Sheikh Mohamed dan Raja Abdullah II mengadakan pertemuan di Istana Al Shati, Abu Dhabi, 7 Sept 2025, untuk membincangkan hubungan dua hala dan perkembangan penting di rantau ini. - Foto X RHC
ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan pada Ahad menegaskan semula pendirian teguh mereka dalam menyokong hak rakyat Palestin serta menolak sebarang tindakan Israel yang menjejaskan tanah Palestin atau mengancam kestabilan serantau, lapor Xinhua.

Semasa pertemuan di Abu Dhabi, Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Raja Jordan Raja Abdullah II menzahirkan kepentingan usaha antarabangsa untuk mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh berdasarkan penyelesaian dua negara, serta mengulangi penentangan mereka terhadap rancangan Israel untuk mengilhak sebahagian Tebing Barat, mengusir rakyat Palestin, atau meluaskan penempatan haram Israel.

Kedua-dua pemimpin turut menyatakan penolakan mereka terhadap kenyataan dan pendirian Israel yang mengancam kedaulatan negara-negara di rantau itu.

Mereka juga membincangkan hubungan persaudaraan antara UAE dan Jordan serta meneroka cara untuk memperkukuh kerjasama dan penyelarasan.

Raja Jordan berangkat tiba di UAE untuk lawatan kerja, diiringi oleh Putera Mahkota Al Hussein bin Abdullah II, Perdana Menteri Jafar Hassan, Menteri Luar Ayman Safadi dan pegawai kanan lain.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

-- BERNAMA

#UAE #Jordan #Palestin #Israel