ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengeluarkan amaran bahawa kumpulan pelampau cuba merekrut golongan muda di negara itu menerusi mesej yang memanipulasikan emosi, justeru menggesa keluarga dan masyarakat untuk terus berwaspada, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan yang disiarkan pada Selasa di media sosial, Jabatan Keselamatan Negara UAE memaklumkan kumpulan sedemikian menggunakan retorik yang memutarbelitkan fakta dan memberikan gambaran salah tentang konsep untuk menarik belia ke arah ideologi radikal.
Advertisement
Amaran itu disertakan dengan video kesedaran yang menggambarkan bagaimana keradikalan boleh bermula secara halus, menyebabkan individu menerima pakai pandangan melampau, mengasingkan diri dan menyebarkan sikap tidak bertoleransi.
Jabatan itu menegaskan bahawa keselamatan negara ialah tanggungjawab bersama dan menyeru orang ramai melaporkan aktiviti mencurigakan.
Pada Selasa juga, Anwar Gargash, penasihat diplomatik kepada Presiden UAE, menggesa kewaspadaan untuk menentang ideologi ekstremis dan melindungi masyarakat yang terbuka dan bertolak ansur.
-- BERNAMA-XINHUA