[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

UAE serah individu diburu kepada pihak berkuasa Sweden

Bernama 12/09/2025 | 21:10 MYT
Kementerian Dalam Negeri menegaskan komitmen UAE untuk memerangi jenayah terancang rentas negara serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dengan negara strategik. - Gambar hiasan
ABU DHABI: Kementerian Dalam Negeri Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyerahkan beberapa individu yang dikehendaki kepada pihak berkuasa Sweden selepas mereka ditahan Polis Dubai susulan Notis Merah yang dikeluarkan Interpol.

Agensi Berita Emirates (WAM) melaporkan mereka merupakan antara buruan paling dikehendaki pihak berkuasa Sweden atas tuduhan penyeludupan senjata api haram.

Penyerahan itu dibuat selepas keputusan kehakiman dan arahan daripada Kementerian Kehakiman, sekali gus mengesahkan komitmen UAE terhadap prosedur undang-undang antarabangsa.

Kementerian Dalam Negeri menegaskan komitmen UAE untuk memerangi jenayah terancang rentas negara serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dengan negara strategik demi melindungi masyarakat, menegakkan keadilan serta mempromosi keselamatan dan kestabilan di peringkat global.

-- BERNAMA

#UAE #Sweden #Kementerian Dalam Negeri #Interpol