KAHERAH: Polis Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat berkata mereka menahan 109 individu pelbagai warganegara kerana merakam dan memuat naik maklumat “palsu” dalam talian susulan perang yang sedang berlaku di Asia Barat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penahanan itu diumumkan oleh polis Abu Dhabi, ibu negara UAE, yang berkata suspek telah merakam lokasi dan kejadian serta menyebarkan “maklumat palsu” di media sosial.
Advertisement
“Perkara ini boleh menghasut pendapat umum dan menyebarkan khabar angin dalam kalangan masyarakat,” kata polis dalam satu hantaran di X tanpa memberikan butiran lanjut.
Iran dilaporkan berulang kali menyerang negara Teluk sebagai tindak balas terhadap kempen pengeboman Amerika Syarikat-Israel yang bermula pada akhir Februari.
UAE menanggung kesan terbesar serangan Iran dengan negara Teluk itu melaporkan telah memintas sejumlah 338 peluru berpandu balistik, 15 peluru berpandu jelajah dan 1,740 dron setakat Jumaat.
Pihak berkuasa UAE berkata serangan Iran itu telah mengorbankan dua anggota tentera dan enam warga asing di negara tersebut.
-- BERNAMA-dpa