SHAH ALAM: Perkhidmatan Dr Solehah Yaacob sebagai kakitangan akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah ditamatkan pada 27 April lalu.
Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UIAM dalam satu kenyataan memaklumkan, penggunaan sebarang gelaran, jawatan atau apa-apa bentuk kaitan rasmi dengan universiti itu oleh beliau tidak lagi dibenarkan.
Jelas kenyataan itu lagi, susulan penamatan tersebut ahli akademik berkenaan tidak lagi memegang jawatan sebagai profesor atau mewakili institusi pendidikan tinggi (IPT) tersebut dalam sebarang perjawatan.
“Ketetapan itu turut meliputi penggunaan gelaran atau perjawatan yang mengaitkan beliau dengan UIAM dalam bahan promosi, pelaporan media, penerbitan dan pengiklanan.
“Ia juga merangkumi kandungan media sosial, bahan publisiti atau bahan hebahan lain, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” kata kenyataan itu pada Ahad.
Solehah sebelum ini mendapat perhatian umum susulan beberapa pandangan kontroversi beliau termasuk mengenai sejarah dan tamadun Melayu.
Menerusi kenyataan itu, beliau mendakwa masyarakat Rom purba mempelajari teknologi pembinaan kapal daripada masyarakat Alam Melayu.
Terbaharu, beliau membentangkan teori bahawa kekayaan bijih besi di Kedah purba mungkin berpunca daripada hujan meteor pada zaman silam.
Mengulas lanjut, UIAM berkata, dengan adanya penjelasan mengenai kedudukan Solehah dapat mengelakkan sebarang kekeliruan pada masa akan datang.
“UIAM berharap dengan penjelasan mengenai status perkhidmatan dan kaitan rasmi Solehah dengan universiti ini dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai,” katanya. -- Sinar Harian