DUNIA

Ujian DNA tulang mungkin ubah sejarah Mesir Purba

Astro Awani 03/07/2025 | 02:20 MYT
Penemuan ini memberikan bukti biologi pertama tentang interaksi budaya dan migrasi manusia antara Mesir dan Asia Barat. - Foto X/@NaturePortfolio
KAHERAH: Penemuan saintifik terkini berpotensi mengubah pemahaman kita tentang asal-usul tamadun Mesir Purba, selepas pasukan penyelidik berjaya mengekstrak dan meneliti DNA lengkap dari rangka manusia berusia lebih 4,500 tahun yang ditemui di kawasan perkuburan Nuwayrat, selatan Kaherah.

Rangka tersebut, dipercayai milik seorang tukang tembikar berusia sekitar 60 tahun, telah dikebumikan dalam bekas seramik tertutup yang membantu melindungi bahan genetik daripada kerosakan akibat iklim panas Mesir.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature mendedahkan bahawa 80 peratus susur galur genetik individu itu berasal dari Afrika Utara, manakala 20 peratus lagi dikaitkan dengan Mesopotamia, menunjukkan hubungan genetik yang ketara antara dua tamadun besar dunia purba.

Menurut Prof Pontus Skoglund dari Francis Crick Institute, penemuan ini memberikan bukti biologi pertama tentang interaksi budaya dan migrasi manusia antara Mesir dan Asia Barat, yang sebelum ini hanya disokong oleh artifak dan rekod arkeologi.

“Jika kita dapat gabungkan maklumat DNA purba dengan data arkeologi dan sejarah bertulis, kita boleh hidupkan semula fakta sejarah dengan lebih berwarna,” katanya kepada BBC.

Penemuan ini juga membolehkan penyelidik melakukan rekonstruksi wajah individu tersebut menggunakan imbasan 3D tengkorak, memberikan gambaran visual tentang rupa penduduk Mesir Purba semasa era pembinaan piramid.

Dengan kejayaan ini, para saintis berharap dapat meneroka lebih banyak rangka purba untuk memahami asal-usul genetik dan hubungan silang budaya yang membentuk tamadun Mesir.

Ia juga membuka peluang kerjasama dengan projek genom mumia diraja yang sedang dijalankan oleh penyelidik tempatan.











#ujian DNA #Mesir Purba #migrasi #rangka manusia