LONDON: Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace mengkritik ujian peluru berpandu antisatelit Rusia kerana ia menunjukkan pengabaian sepenuhnya terhadap keselamatan dan kestabilan di angkasa lepas, lapor Sputnik.

"Ujian peluru berpandu antisatelit Rusia ini menunjukkan pengabaian keselamatan, jaminan dan kelestarian ruang angkasa. Serpihan yang terhasil daripada ujian ini akan kekal di orbit yang merisikokan satelit dan penerbangan angkasa lepas manusia pada masa akan datang," menurut Kementerian Pertananan United Kingdom (UK) memetik ciapan Wallace.

Pada Isnin, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Ned Price mendakwa Rusia "secara melulu" menjalankan ujian itu yang didakwa menghasilkan lebih 1,500 keping serpihan orbit yang boleh mengancam kepentingan semua negara, menurut kenyataan itu.

Menurut Jabatan Negara AS ujian itu boleh meningkatkan risiko kepada angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), serta aktiviti penerbangan angkasa lepas manusia yang lain.

-- BERNAMA