[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
DUNIA

UK bakal peroleh 12 pesawat F-35A, tegaskan komitmen terhadap NATO

Bernama 25/06/2025 | 10:45 MYT
F-35A, pesawat generasi kelima yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan AS Lockheed Martin, berupaya membawa senjata konvensional dan jika diperlukan, bom nuklear buatan AS. - Gambar fail/hiasan/REUTERS
ISTANBUL: United Kingdom (UK) merancang untuk memperoleh sekurang-kurangnya 12 buah pesawat pejuang F-35A yang berkeupayaan membawa senjata nuklear, sebagai sebahagian usaha menyertai misi nuklear udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Perdana Menteri Keir Starmer dijangka mengumumkan perkara itu pada Rabu semasa Sidang Kemuncak NATO yang berlangsung di Belanda, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan rasmi kerajaan UK.
F-35A, pesawat generasi kelima yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan AS Lockheed Martin, berupaya membawa senjata konvensional dan jika diperlukan, bom nuklear buatan AS.
Ia dianggap antara pesawat tempur paling canggih di dunia, namun juga antara yang paling mahal.
"Dalam era ketidakpastian yang ketara, kita tidak lagi boleh mengambil mudah soal keamanan. Justeru, kerajaan saya melabur demi keselamatan negara," kata Starmer.
Pejabat Perdana Menteri UK menggambarkan keputusan ini sebagai "pengukuhan postur nuklear UK terbesar dalam satu generasi."
"Komitmen UK terhadap NATO tidak boleh dipersoalkan, sebagaimana sumbangan pakatan itu terhadap keselamatan UK. Namun, kita semua mesti meningkatkan usaha demi melindungi rantau Euro-Atlantik untuk generasi akan datang," katanya.
Starmer turut menyatakan bahawa pelaburan ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 100 syarikat dan menyokong 20,000 pekerjaan di seluruh UK, sekali gus menandakan "era baharu bagi Tentera Udara Diraja Britain yang bertaraf dunia."
Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte menyambut baik langkah itu dan menyifatkannya sebagai "satu lagi sumbangan kukuh daripada Britain kepada NATO."
-- BERNAMA
#NATO #pesawat F-35A #misi nuklear udara #Keir Starmer #United Kingdom