[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
DUNIA

UK kecam kelulusan Israel terhadap 19 penempatan haram baharu di Tebing Barat

Bernama 22/12/2025 | 02:30 MYT
Falconer berkata langkah ini berisiko menjejaskan Pelan 20 Perkara serta prospek keamanan dan keselamatan jangka panjang. - Foto X/QudsNen
LONDON: United Kingdom (UK) pada Ahad mengecam kelulusan Israel terhadap 19 penempatan haram baharu di Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.

"UK mengecam kelulusan kerajaan Israel terhadap 19 penempatan baharu di Palestin. Penempatan ini adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa," tulis Menteri UK bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Hamish Falconer menerusi platform media sosial X.

Kenyataan itu dibuat selepas Kabinet Israel meluluskan cadangan bagi pembinaan 19 penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, menjadikan jumlah keseluruhan penempatan baharu yang diluluskan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kepada 69.

"Langkah ini berisiko menjejaskan Pelan 20 Perkara serta prospek keamanan dan keselamatan jangka panjang yang hanya dapat dicapai melalui penyelesaian dua negara," kata Falconer, merujuk kepada pelan hala tuju Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza.

Menurut angka Palestin, pasukan Israel dan pendatang haram telah membunuh sekurang-kurangnya 1,102 rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, mencederakan hampir 11,000 orang serta menahan kira-kira 21,000 individu sejak Oktober 2023.

-- BERNAMA




#Israel #penempatan haram #Hamish Falconer #Tebing Barat