Ringkasan AI
- Kerajaan UK menguatkuasakan sekatan diperluas terhadap individu dan syarikat terlibat pembinaan, peluasan atau pembiayaan penempatan haram Israel di Tebing Barat.
- Sekatan baharu ini turut menyasarkan institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans yang membiayai aktiviti penempatan, melebihi langkah terdahulu.
- Penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur terus menjadi isu utama konflik Palestin-Israel serta dikritik masyarakat antarabangsa.
LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) mula menguatkuasakan rejim sekatan yang diperluas terhadap individu dan syarikat yang terlibat dalam pembinaan, peluasan atau pembiayaan penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Langkah itu menyusuli pengumuman yang dibuat oleh Setiausaha Luar UK pada September lalu dan telah mencetuskan tindak balas daripada Israel, termasuk arahan penutupan konsulat Britain di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Menurut laporan media Israel, Haaretz, sekatan baharu itu boleh digunakan terhadap institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans yang membiayai aktiviti penempatan, melangkaui langkah terdahulu yang hanya menyasarkan individu yang terlibat dalam keganasan peneroka terhadap rakyat Palestin.
Perkembangan itu berlaku beberapa hari sebelum tarikh akhir 19 Oktober bagi pengemukaan bidaan pembinaan di kawasan E1 yang terletak antara Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan penempatan Maaleh Adumim.
Projek berkenaan mendapat kritikan antarabangsa kerana dilihat boleh menjejaskan kesinambungan wilayah yang diperlukan bagi pembentukan sebuah negara Palestin pada masa depan.
Di bawah kerangka sekatan yang diperluas itu, kerajaan UK boleh menamakan lebih banyak individu dan entiti untuk dikenakan tindakan, namun sekatan tidak akan dikuatkuasakan secara automatik terhadap mereka.
Penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki terus menjadi isu utama dalam konflik Palestin-Israel, dengan sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggap penempatan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa.