DUNIA
UK mungkin alami musim panas terpanas dalam sejarah tahun ini - Met Office

Musim panas tahun ini dicirikan oleh suhu panas berterusan, walaupun di luar empat gelombang haba yang melanda negara itu, dengan Jun dan Julai mencatatkan suhu jauh melebihi purata. - Foto hiasan/REUTERS
LONDON: United Kingdom mungkin mencatat musim panas terpanas dalam sejarah tahun ini, menurut Met Office, lapor PA Media/dpa.
Musim panas tahun ini dicirikan oleh suhu panas berterusan, walaupun di luar empat gelombang haba yang melanda negara itu, dengan Jun dan Julai mencatatkan suhu jauh melebihi purata.
Dengan tinggal dua minggu sebelum berakhirnya musim panas meteorologi, keadaan masih boleh berubah. Dengan suhu keseluruhan yang hangat dan konsisten melebihi purata, musim ini berpotensi menjadi antara yang paling panas dalam rekod sejak 1884.
Angka awal dari Met Office menunjukkan purata suhu di UK dari 1 Jun hingga 17 Ogos adalah 16.2?Celsius (C), iaitu 1.6?C lebih tinggi daripada purata.Ahli sains Met Office, Emily Carlisle berkata, "musim panas ini nampaknya berada di landasan untuk menjadi antara yang paling panas, jika bukan yang paling panas, sejak siri rekod bermula pada 1884."
"Apa yang paling ketara adalah konsistensi kepanasan. Jun dan Julai mencatat suhu jauh melebihi purata dan walaupun di luar gelombang haba, suhu kekal dalam julat yang hangat.
Panas berterusan ini berlaku akibat gabungan beberapa faktor, termasuk tanah kering sejak musim bunga, sistem tekanan tinggi dan suhu laut yang luar biasa panas di sekitar UK. Keadaan ini mewujudkan persekitaran di mana haba mudah terkumpul dan berpanjangan."
Beliau berkata, "walaupun kita belum mencatat suhu tertinggi baharu - 35.8?C adalah suhu tertinggi setakat tahun ini, trend suhu tinggi melebihi purata secara konsisten adalah lebih signifikan."
Met Office menjelaskan yang perubahan iklim turut menyumbang kepada peningkatan suhu musim panas, dengan UK mencatatkan peningkatan sekitar 0.25?C setiap dekad.
Musim panas paling panas dalam sejarah UK adalah pada 2018, diikuti oleh 2006, 2003, 2022 dan 1976.
Met Office menyatakan yang kedua-dua bulan Jun dan Julai mencatat suhu melebihi purata secara konsisten, dengan England mengalami Jun paling panas dalam sejarah.
Setakat ini, terdapat empat gelombang haba musim panas ini dan walaupun perkara itu dianggap luar biasa, setiap satu berlangsung dalam tempoh singkat dan diselang-seli dengan keadaan hampir purata. Hari paling panas tahun ini, iaitu 35.8?C di Faversham, Kent, masih jauh di bawah rekod tertinggi UK sebanyak 40.3?C pada 2022.
Jumlah hujan pula berada di bawah purata, dengan hanya 72 peratus daripada jumlah purata jangka panjang musim panas direkodkan setakat ini, berbanding 85 peratus yang dijangka pada ketika ini - namun ia berbeza mengikut kawasan. Utara Scotland menerima 98 peratus hujan musim panasnya, manakala Midlands hanya 58 peratus.
Kekurangan purata hujan pada musim panas ini berlaku selepas musim bunga paling kering di England dalam lebih 100 tahun dan tempoh Januari hingga Julai paling kering sejak 1929, menurut Met Office.
Musim panas ini juga lebih cerah daripada purata, namun menurut pakar meteorologi, masih terlalu awal untuk menentukan kedudukan 2025 daripada segi rekod sinaran matahari.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami