DUNIA

UK, Qatar umum dana bernilai AS$11.2 juta untuk Rohingya, komuniti tuan rumah di Bangladesh

Bernama 08/12/2025 | 08:30 MYT
Bangladesh tempatkan lebih 1.3 juta pelarian Rohingya di pantai tenggaranya selepas mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera di Myanmar pada 2017. - Reuters
DHAKA: United Kingdom dan Qatar bersama-sama mengumumkan dana bernilai US$11.2 juta untuk menyokong lebih 647,000 pelarian Rohingya dan komuniti tuan rumah di daerah Cox's Bazar di tenggara Bangladesh, lapor Anadolu Ajansi.

Dana bersama itu akan menyokong penyediaan Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada isi rumah pelarian yang terjejas, bertujuan meningkatkan keadaan hidup dan mengurangkan kemerosotan alam sekitar di dalam dan sekitar kem pelarian, menurut satu kenyataan pada Ahad daripada Suruhanjaya Tinggi British di Dhaka.

Bangladesh menempatkan lebih 1.3 juta pelarian Rohingya di pantai tenggaranya selepas mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera di Myanmar pada Ogos 2017.

Mereka berdepan krisis kerana tiada proses penghantaran pulang dilakukan sejak itu, di tengah-tengah penurunan pembiayaan antarabangsa.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), operasi Program Makanan Sedunia (WFP) bagi Rohingya menghadapi kekurangan dana hampir US$190 juta, dengan US$172 juta diperlukan bagi bantuan makanan dan pemakanan yang menyelamatkan nyawa.

Tanpa dana baharu, agensi PBB itu berkata pemberian kupon makanan akan berdepan gangguan utama mulai April 2026.

-- BERNAMA

#dana #United Kingdom #Qatar #Rohingya #Bangladesh #pelarian