DUNIA

UK salur bantuan kemanusiaan RM14 juta kepada Jamaica selepas dilanda taufan

Bernama 30/10/2025 | 03:00 MYT
Kapal tentera laut HMS Trent telah ditempatkan lebih awal di rantau berkenaan bagi memberikan bantuan. - Foto X/Daopz
LONDON: United Kingdom (UK) menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah GBP2.5 juta (RM14 juta) kepada Jamaica susulan kemusnahan akibat Taufan Melissa.

Perdana Menteri Keir Starmer menyifatkan keadaan di negara Caribbean itu sebagai "amat mengejutkan."

Beliau memaklumkan kepada ahli Parlimen pada Rabu bahawa kapal tentera laut HMS Trent dan "pasukan khas tindak balas pantas" telah ditempatkan lebih awal di rantau berkenaan bagi memberikan bantuan, lapor PA Media/dpa.

Menurut Pejabat Hal Ehwal Luar, Komanwel dan Pembangunan (FCDO), dana itu akan digunakan bagi membekalkan bantuan kecemasan seperti kit tempat perlindungan, penapis air dan selimut, selain menghantar pakar UK untuk menyelaras serta mengagihkan bantuan di lapangan.

Raja Charles III pada Rabu turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemusnahan itu dan menyifatkannya sebagai peringatan tentang "keperluan mendesak untuk memulihkan keseimbangan serta keharmonian alam."

Pada sesi soal jawab mingguan di Parlimen, Starmer berkata gambaran kemusnahan yang muncul dari Jamaica amat menginsafkan.

"Saya dan Setiausaha Luar telah berhubung rapat dengan rakan sejawat di Jamaica sejak beberapa hari lalu bagi menawarkan sokongan penuh UK," katanya.

HMS Trent serta pasukan tindak balas pantas kini bersiap sedia di rantau berkenaan bagi memberi bantuan kemanusiaan.

Sementara itu, Setiausaha Luar Yvette Cooper berkata UK bertindak segera membantu pihak berkuasa Jamaica dalam usaha bantuan dan kepakaran teknikal.

"Pasukan khas tindak balas juga telah ditempatkan di rantau berkenaan untuk memberikan bantuan konsular 24 jam kepada warga Britain yang terjejas akibat Taufan Melissa," katanya.

Sebuah pasukan khas FCDO dihantar ke Miami bagi membantu warga Britain yang terkesan, manakala pasukan Kementerian Pertahanan ditempatkan di Kepulauan Turks dan Caicos bagi menyokong operasi tindak balas bencana.

Dianggarkan 8,000 warga Britain berada di Jamaica, sementara FCDO menasihatkan mereka supaya mendaftar kehadiran menerusi laman sesawang kerajaan untuk menerima maklumat terkini mengenai situasi terkini.

Bahagian barat Jamaica termasuk kawasan pelancongan utama seperti Montego Bay dilaporkan paling terjejas, manakala kira-kira tiga perempat pulau itu kini tanpa bekalan elektrik.

Pusat Taufan Kebangsaan AS di Miami sebelum ini melaporkan Melissa "antara taufan paling dahsyat dalam sejarah Atlantik" ketika ia melanda barat daya Jamaica dengan kelajuan angin mencecah 298 kilometer sejam.

Kerajaan Jamaica mengarahkan pemindahan penduduk dari kawasan berisiko tinggi dan menutup semua lapangan terbang negara itu.

Taufan itu kemudian melanda timur Cuba, dengan pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduknya supaya kekal berlindung dan menggesa Bahamas bersiap sedia menghadapi bencana alam itu yang dijangka melanda lewat Rabu.

-- BERNAMA






#Taufan Melissa #bantuan kemanusiaan #Keir Starmer #HMS Trent