KYIV: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 75 lagi cedera di Ukraine akibat serangan besar-besaran Rusia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik angka Kementerian Dalam Negeri Ukraine pada pagi Jumaat.

Di pusat bandar Dnipro, lima orang awam terbunuh dan lebih 20 lagi cedera, menurut pentadbiran tentera tempatan.

Di media sosial, Presiden Volodymyr Zelensky berkata Rusia melepaskan kira-kira 110 peluru berpandu ke seluruh Ukraine semalaman - lebih banyak daripada sebelum ini dalam sehari.

Ibu negara Kyiv turut menjadi sasaran.

Datuk Bandar Kyiv Vitali Klitschko berkata sekurang-kurangnya seorang terbunuh dalam serangan tersebut manakala 17 lagi cedera. Empat mangsa dikeluarkan daripada runtuhan bangunan yang hancur.

Kerosakan juga dilaporkan di bandar lain, termasuk Kharkiv dan Lviv.

Antara senjata yang digunakan ialah peluru berpandu hipersonik Kinzhal, peluru berpandu balistik jenis S-300, pelbagai peluru berpandu cruise dan dron jarak jauh buatan Iran, menurut Zelensky.

Pada awal Jumaat, pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya enam terbunuh dan lebih tiga puluh cedera di seluruh negara.

-- BERNAMA