INTERNATIONAL

Ukraine sedia sebarang bentuk rundingan tamat konflik - Zelenskyy

Agensi 21/04/2025 | 23:50 MYT
Presiden Zelenskyy berpegang teguh pada cadangan untuk menghentikan serangan terhadap sasaran awam dan bersedia untuk sebarang bentuk rundingan.- Gambar Reuters
KIEV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menegaskan, pihaknya berpegang teguh pada cadangan untuk menghentikan serangan terhadap sasaran awam dan bersedia untuk sebarang bentuk rundingan.

Dalam satu rakaman video yang diedarkan malam tadi, Zelenskyy berkata, pihaknya berharap satu bentuk maklum balas yang jelas dari Moscow dalam merealisasikan perkara ini.

"Wakil-wakil Ukraine, baik di mesyuarat yang berlangsung di Paris dan yang dijadualkan minggu ini di London, mempunyai tugas utama iaitu untuk mendesak gencatan senjata tanpa syarat. Ini mesti menjadi titik permulaan.

"Kedamaian datang dalam keheningan. Dan hanya apabila terdapat keheningan sebenar dan orang mempercayai keseluruhan proses rundingan, isu-isu asas dapat diselesaikan," katanya.

Awal bulan ini, Rusia menegaskan, mereka tidak dapat menerima cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang di Ukraine dalam keadaan sekarang.

Ini kerana apa yang dicadangkan gagal menangani isu-isu utama yang dianggap sebagai punca sebenar konflik oleh pihak Moscow.

Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov menjelaskan, cadangan AS masih belum memenuhi keperluan Rusia. - Agensi




#Amerika Syarikat #gencatan senjata #Ukraine #Rusia #konflik Rusia-Ukraine #Volodymyr Zelenskiy