Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Ukraine umum perundingan dengan AS mengenai penamatan perang akan diadakan di Switzerland

Bernama 22/11/2025 | 22:45 MYT
Rustem Umerov bercakap pada satu sidang media di Copenhagen, Denmark, 20 Nov 2024. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine Rustem Umerov mengumumkan pada Sabtu bahawa perundingan mengenai langkah menamatkan perang akan berlangsung dalam beberapa hari akan datang, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam mesej di Telegram, Umerov berkata rundingan itu akan diadakan antara wakil Ukraine dan Amerika Syarikat, dengan penyertaan wakil Eropah sebagai pengantara.

Menurutnya, topik utama perbincangan ialah parameter bagi perjanjian damai masa depan.

Secara berasingan, Pejabat Presiden Ukraine mengesahkan permulaan rundingan itu, sambil menyatakan ia akan diadakan di Switzerland.

Menurut kenyataan itu, Presiden Volodymyr Zelenskyy telah meluluskan senarai anggota delegasi Ukraine, yang akan diketuai oleh Ketua Staf Presiden Andriy Yermak.

Delegasi itu juga telah menerima arahan perundingan, katanya lagi.

Pejabat itu menegaskan bahawa wakil Ukraine "akan mempertahankan kepentingan sah rakyat serta asas-asas keselamatan Eropah".

"Kami berharap kepada dialog yang konstruktif dan bersedia bekerja secepat mungkin untuk mencapai keamanan sebenar. Ukraine tidak pernah menginginkan perang ini dan akan melakukan segala yang perlu untuk menamatkannya dengan keamanan yang bermaruah," menurut kenyataan itu.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Jumaat berkata Moscow telah menerima draf pelan damai AS yang mengandungi 28 perkara mengenai Ukraine, namun "tiada perbincangan substantif" yang diadakan mengenainya.

-- BERNAMA

#konflik Rusia-Ukraine #Rustem Umerov #Switzerland #perjanjian damai