WASHINGTON: Ribuan umat Islam di New York menyambut permulaan Ramadan pada Ahad, dengan berkumpul di Times Square yang simbolik.

Agensi Anadolu (AA) melaporkan umat Islam menunaikan solat tarawih pertama mereka secara berjemaah yang akan berterusan sepanjang bulan suci itu.

Mereka kemudian berdoa untuk Gaza dan rakyatnya, yang telah diserang Israel lebih lima bulan.

Sementara itu, setengah jam dari ibu negara Washington, umat Islam juga mengadakan solat tarawih pertama mereka di American Religious Center.

Pekarangan halaman luar dan taman masjid itu dipenuhi oleh jemaah yang bersolat.

Diikuti doa khas untuk semua umat Islam khususnya rakyat Gaza yang berdepan dengan serangan maut rejim Zionis sejak 7 Okt 2023.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Wanita Pertama Jill Biden dalam kenyataan sempena kedatangan Ramadan pada Ahad menyatakan "bulan suci adalah masa untuk bermuhasabah dan pembaharuan".

"Tahun ini, ia disambut pada saat kesengsaraan. Peperangan di Gaza telah menimbulkan penderitaan yang teruk kepada rakyat Palestin, Lebih 30,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya orang awam, termasuk beribu-ribu kanak-kanak," kata Biden dalam kenyataan, menurut AA.

Kenyataan beliau dibuat pada malam sebelum Ramadan apabila semua umat Islam di negara ini menunaikan solat tarawih pertama, solat khas yang dilakukan selepas solat isyak.

Biden berkata hampir dua juta rakyat Palestin telah berpindah angkara perang yang dilancarkan oleh Israel dan ramai yang memerlukan makanan, air, ubat-ubatan dan tempat tinggal.

"Ketika umat Islam berkumpul di seluruh dunia dalam tempoh beberapa hari dan minggu akan datang untuk berbuka puasa, penderitaan rakyat Palestin sudah pasti menjadi tumpuan ramai," katanya.

Biden berkata pentadbirannya akan terus berusaha untuk mendapatkan lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui darat, udara dan laut serta mewujudkan gencatan senjata selama sekurang-kurangnya enam minggu sebagai sebahagian daripada perjanjian pembebasan tebusan antara Hamas dan Israel.

Beliau mengulangi bahawa penyelesaian dua negara itu adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan yang berkekalan.

Hampir 31,000 rakyat Palestin, kebanyakan wanita dan kanak-kanak telah terkorban di Gaza dan lebih 72,500 yang lain mengalami kecederaan di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barangan keperluan.

Perang Israel telah memaksa 85 peratus penduduk Gaza berpindah ditengah-tengah sekatan yang melumpuhkan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Sebagai perbandingan, 60 peratus daripada infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

ICJ dalam keputusannya pada Januari mengarahkan langkah sementara iaitu memerintahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

-- BERNAMA