DUNIA

AS umum fasa kedua pelan tamatkan perang Gaza

Astro Awani 14/01/2026 | 23:00 MYT
Pentadbiran peralihan itu akan beroperasi di bawah penyeliaan sebuah “Lembaga Keamanan”, yang akan dipengerusikan oleh Trump. - Foto fail/AP
WASHINGTON: Utusan Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff, mengumumkan bermulanya fasa kedua pelan Presiden Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza, dengan penubuhan sebuah kerajaan Palestin bersifat teknokrat di wilayah itu.

Beliau berkata fasa kedua turut merangkumi usaha pembinaan semula serta penyahketenteraan sepenuhnya Gaza, termasuk pelucutan senjata Hamas dan kumpulan Palestin lain.

“Amerika Syarikat menjangkakan Hamas mematuhi sepenuhnya semua kewajipannya,” tegas beliau, sambil menegaskan kewajipan itu termasuk pemulangan jasad tebusan Israel terakhir yang terkorban.

“Kegagalan berbuat demikian akan membawa akibat yang serius.”

Di bawah fasa pertama, Hamas dan Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada Oktober, selain pertukaran tebusan-tahanan, pengunduran separa tentera Israel dan peningkatan bantuan kemanusiaan.

Susulan pengumuman AS itu, para pengantara serantau, Mesir, Gaza dan Turkiye, menyambut baik penubuhan apa yang mereka sebut sebagai “Jawatankuasa Teknokrat Palestin bagi Mentadbir Semenanjung Gaza”, dengan menyatakan ia akan “menyumbang kepada pengukuhan usaha ke arah kestabilan serta penambahbaikan keadaan kemanusiaan”.

Mereka turut memaklumkan bahawa badan 15 anggota itu akan diketuai Ali Shaath, bekas timbalan menteri perancangan dalam Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang disokong Barat dan mentadbir sebahagian Tebing Barat yang diduduki.

Pentadbiran peralihan itu akan beroperasi di bawah penyeliaan sebuah “Lembaga Keamanan”, yang akan dipengerusikan oleh Trump, selaras dengan pelan 20 perkara yang diumumkannya tiga bulan lalu.

Pengumuman berkaitan lembaga tersebut dijangka dibuat dalam beberapa hari lagi, termasuk ketika presiden menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos minggu hadapan.

Bekas utusan PBB ke Asia Barat, Nickolay Mladenov, yang kini mengadakan pertemuan dengan pegawai Israel dan Palestin, dijangka menjadi wakil lembaga itu di lapangan di Gaza.

Terdahulu pada Rabu, Hamas dan sekutunya, Jihad Islam Palestin (PIJ), berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa mereka bersetuju menyokong usaha penubuhan kerajaan Palestin berasaskan teknokrat itu “sambil menyediakan persekitaran yang sesuai” untuk ia memulakan tugas.

PA, yang dikuasai Fatah, seteru Hamas, turut menyatakan sokongan.

Naib Presiden Hussein al-Sheikh berkata kepimpinan Trump telah “menyumbang kepada penciptaan peluang baharu bagi keamanan, kestabilan dan tadbir urus yang baik”, sambil menggesa semua puak Palestin, institusi dan lapisan masyarakat “memastikan kejayaan fasa peralihan yang kritikal ini”.

Sementara itu, pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan bahawa Benjamin Netanyahu telah berbincang pada Rabu malam dengan ibu bapa Ran Gvili, tebusan terakhir yang terkorban di Gaza.

Netanyahu menegaskan kepada Itzik dan Talik Gvili bahawa “kepulangan Ran adalah keutamaan tertinggi kami dan langkah pengisytiharan menubuhkan jawatankuasa teknokrat tidak akan menjejaskan usaha membawa pulang Ran untuk dikebumikan di Israel,” menurut kenyataan pejabatnya.

Pegawai polis berusia 24 tahun itu adalah antara 251 individu yang diculik semasa serangan pimpinan Hamas ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023, yang turut mengorbankan kira-kira 1,200 orang.

Israel bertindak balas dengan melancarkan kempen ketenteraan di Gaza, yang setakat ini mengorbankan lebih 71,430 nyawa, menurut kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.






#Gaza #pelan menamatkan perang #kerajaan teknokrat #Donald Trump