WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif baharu antara 10 hingga 12.5 peratus ke atas puluhan negara rakan dagang, susulan kebimbangan bahawa negara berkenaan gagal menangani isu buruh paksa dalam rantaian bekalan masing-masing.
Jabatan Perdagangan AS memaklumkan langkah tersebut menyasarkan kira-kira 60 rakan dagang utama yang merangkumi hampir keseluruhan import negara itu.
Tarif berkenaan bagaimanapun masih belum dikuatkuasakan dan perlu melalui proses lanjut.
Langkah itu merupakan kali kedua pentadbiran Presiden Donald Trump memperkenalkan cukai import baharu selepas Mahkamah Agung AS pada Februari lalu membatalkan sebahagian besar tarif terdahulu.
Menurut laporan, sebanyak 54 negara didapati gagal melaksanakan larangan undang-undang terhadap import barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa, manakala enam lagi termasuk Kanada, Kesatuan Eropah (EU) dan Mexico didakwa gagal menguatkuasakan larangan tersebut secara berkesan.
AS merancang mengenakan tarif 10 peratus ke atas beberapa negara termasuk Britain, Kanada, EU, Malaysia, Indonesia dan Taiwan, manakala baki negara termasuk China dan India bakal berdepan tarif lebih tinggi iaitu 12.5 peratus.
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata situasi itu mewujudkan persaingan tidak adil kepada pekerja AS.
“Pekerja AS dipaksa bersaing dalam keadaan tidak seimbang di peringkat global,” katanya.
Langkah itu bagaimanapun menerima kritikan pelbagai pihak. EU menyifatkan tarif tersebut sebagai “tidak berasas”, manakala China menafikan kewujudan buruh paksa dan menuduh AS mempolitikkan isu berkenaan.
Kerajaan United Kingdom (UK) pula menegaskan usaha sedang dipertingkatkan bagi memastikan syarikat tidak terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia.
Kumpulan hak asasi manusia mengakui isu buruh paksa masih wujud di beberapa negara, namun mempersoalkan keberkesanan tarif sebagai penyelesaian, sambil menekankan keperluan penguatkuasaan undang-undang dan akauntabiliti korporat yang lebih ketat.
Pemerhati perdagangan antarabangsa turut melihat langkah itu sebagai sebahagian tekanan Washington dalam rundingan perdagangan yang sedang berlangsung dengan beberapa negara, termasuk India.
Pengumuman tersebut dibuat ketika ketegangan perdagangan global semakin meningkat, dengan dasar tarif AS terus menjadi perdebatan utama dalam hubungan ekonomi antarabangsa.