Undang-undang baharu Jerman perkukuh usaha banteras penyeludupan manusia ke UK

Para pendatang turun dari kapal Pasukan Sempadan Britain sebaik tiba di Pelabuhan Dover, di Dover, Britain. - Foto fail/REUTERS
LONDON: Undang-undang baharu yang diluluskan di Jerman bakal menyaksikan penyeludup manusia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun kerana cuba membawa migran ke United Kingdom (UK), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perundangan yang diluluskan pada Jumaat itu bertujuan membanteras kumpulan penjenayah yang menyimpan bot dan enjin di Jerman sebelum memindahkannya ke Perancis untuk digunakan bagi merentasi Selat Inggeris.
Pindaan undang-undang yang akan berkuat kuasa sebelum akhir tahun ini bertujuan memberi lebih kuasa kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwa raya, selain memperkukuh perkongsian maklumat antara UK dan Jerman.
Langkah itu menyusuli perjanjian yang dicapai antara kedua-dua negara pada Disember tahun lepas untuk menangani migrasi haram, termasuk mengambil tindakan memadamkan iklan penyeludup di media sosial.
Setiausaha Luar Yvette Cooper berkata: "Perubahan besar dalam undang-undang Jerman ini adalah hasil kerjasama erat kami dalam menangani migrasi haram dan jenayah imigresen terancang.
"Kami akan terus mempertingkatkan kerjasama antarabangsa bagi mengukuhkan keselamatan sempadan kami sendiri."
Akta Keselamatan Sempadan, Suaka dan Imigresen Kerajaan UK telah diwartakan sebagai undang-undang awal bulan ini, sekali gus membolehkan agensi penguatkuasaan menggunakan kuasa gaya antiterorisme untuk membanteras kumpulan penyeludupan manusia.
Setiausaha Dalam Negeri juga telah mengumumkan reformasi untuk merombak sistem suaka dalam usaha menyekat migrasi haram serta memudahkan proses penghantaran pulang individu yang tidak mempunyai hak untuk berada di UK.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


