[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Undian pemilihan Perdana Menteri Thailand ditetapkan Jumaat

Bernama 04/09/2025 | 02:25 MYT
Parti pembangkang Parti Rakyat mengumumkan sokongan kepada Anutin Charnvirakul (gambar) sebagai perdana menteri serta akan bersama dalam usaha membentuk pentadbiran baharu. REUTERS
BANGKOK: Dewan Perwakilan Thailand akan mengundi bagi memilih perdana menteri baharu pada Jumaat susulan pemecatan Paetongtarn Shinawatra minggu lalu.

"Speaker telah menambah agenda khas bagi pemilihan segera perdana menteri di bawah Artikel 159 Perlembagaan," menurut kenyataan Sekretariat Dewan.

Pada Rabu, Parti Bhumjaithai mengemukakan usul kepada Dewan untuk mengadakan undian segera bagi memilih perdana menteri baharu.

Pada hari yang sama, parti pemerintah Pheu Thai pula memohon perkenan diraja untuk membubarkan Parlimen selepas gagal memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan.

Langkah itu dibuat selepas parti pembangkang Parti Rakyat mengumumkan sokongan kepada ketua Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul, sebagai perdana menteri serta akan bersama dalam usaha membentuk pentadbiran baharu.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan dekri diraja untuk membubarkan Parlimen yang dikemukakan oleh Perdana Menteri sementara, Phumtham Wechayachai telah dikembalikan oleh Pejabat Majlis Privy atas alasan undang-undang.

-- BERNAMA


#Paetongtarn Shinawatra #Perdana Menteri Thailand #parlimen thailand #undian