Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

UNESCO desak akses pendidikan untuk wanita Afghanistan

Bernama 15/08/2025 | 13:45 MYT
Azoulay berkata sejak mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, Taliban mengeluarkan lebih 70 dekri yang mengehadkan hak wanita dan gadis, terutamanya dalam bidang pendidikan. - Gambar UNESCO
PARIS: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Khamis menggesa masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Taliban agar mengembalikan hak pendidikan wanita di Afghanistan, empat tahun selepas kumpulan itu merampas kuasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Pada saat sesetengah pihak cuba menormalisasi hubungan dengan Taliban, saya menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus lebih berwaspada dan tegas bagi memastikan pemulihan penuh dan tanpa syarat terhadap hak pendidikan wanita Afghanistan," kata Audrey Azoulay, Ketua Pengarah UNESCO.

Azoulay berkata sejak mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, Taliban mengeluarkan lebih 70 dekri yang mengehadkan hak wanita dan gadis, terutamanya dalam bidang pendidikan.

"Hari ini, Afghanistan malangnya menjadi satu-satunya negara di dunia iaitu pendidikan menengah dan tinggi dilarang sama sekali untuk gadis dan wanita," kata Ketua Pengarah UNESCO itu.

Menurut UNESCO, kira-kira 2.2 juta wanita muda dinafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan di Afghanistan sejak Taliban kembali berkuasa.

Azoulay memberi amaran seluruh generasi wanita Afghanistan sedang berada dalam bahaya, walaupun terdapat kemajuan besar dalam kadar celik huruf dan kehadiran ke sekolah sepanjang 20 tahun lalu dengan sokongan UNESCO.

"Seluruh generasi wanita Afghanistan sedang menjadi korban," katanya.

Taliban kembali memerintah pada Ogos 2021 selepas pasukan antarabangsa keluar dari negara itu.

Di bawah pemerintahan Taliban, wanita dilarang mendapatkan pendidikan bermula dari gred tujuh ke atas. Pada Disember lalu, rejim Islamik itu turut melarang wanita daripada menjalani latihan dalam bidang perubatan, walaupun terdapat beberapa sekolah yang masih menawarkan pembelajaran kepada gadis lebih dewasa, bertentangan dengan arahan itu.

-- BERNAMA


#Unesco #bidang perubatan #generasi wanita #masyarakat antarabangsa