UNGA: Iran bidas AS tukar Asia Barat jadi rantau bahaya

Astro Awani
September 23, 2020 00:38 MYT
Hassan Rouhani berucap dalam rakaman video awal yang dimainkan pada sesi ke-75 UNGA di ibu pejabat PBB di New York, 22 Sept, 2020. (Foto AP)
IRAN mengambil kesempatan pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bersempena ulang tahun ke-75 UNGA untuk melepaskan kemarahan kepada Amerika Syarikat (AS).
Presidennya Hassan Rouhani membidas AS, mendakwa Washington telah menukar Asia Barat menjadi satu rantau bahaya.
Ia berkaitan penjualan senjata bernilai berbilion dolar kepada negara di rantau berkenaan.
"Mereka menjual senjata bernilai berbilion dolar kepada klien mereka, menukar rantau kita ini kepada rantau berbahaya.
"Dan mereka tetap mencuba, walaupun tidak berjaya, berusaha mahu melucutkan aspek pertahanan minimum Iran dan mengabaikan undang-undang antarabangsa dan konsensus global, demi melanjutkan sekatan senjata ke atas Iran.
"Ini bertentangan dengan dokumen Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2231," katanya pada Selasa.
Iran dan AS diketahui umum berseteru sejak Revolusi Islam 1979.
Ia diburukkan lagi dengan episod tebusan warga AS di Tehran.
#Amerika Syarikat #Asia Barat #Hassan Rouhani #Iran #marah #PBB #penjualan senjata #rantau bahaya #sekatan senjata #senjata #UNGA