DUNIA
Unit pertahanan udara Rusia musnahkan dua dron menuju ke Moscow
Dron memainkan peranan penting dalam usaha Ukraine mempertahankan diri. - Foto X/@anadoluagency
MOSCOW: Unit pertahanan udara Rusia telah memusnahkan dua dron yang menyasarkan Moscow, menurut Datuk Bandar Sergei Sobyanin dalam kenyataan awal pagi Khamis.
Menerusi aplikasi Telegram, Sobyanin berkata pakar kini sedang memeriksa serpihan dron yang jatuh ke tanah selepas dipintas.
Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo di Moscow turut menggantung sementara semua pelepasan dan ketibaan sebagai langkah keselamatan, menurut agensi berita yang memetik kenyataan badan pemantau penerbangan Rosaviatsiya.
Beberapa lapangan terbang di sepanjang Sungai Volga juga dikenakan sekatan buat sementara waktu.
Gabenor wilayah sempadan Voronezh sebelum ini melaporkan bahawa lebih 40 dron telah dimusnahkan sepanjang hari.
Di wilayah Bryansk yang turut terletak di sempadan, tujuh dron lagi dilaporkan telah dipintas, menurut kenyataan dari pejabat gabenor tempatan.
Kementerian Pertahanan Rusia dalam laporan petang sebelumnya menyatakan bahawa sebanyak 18 dron telah dimusnahkan dalam tempoh tiga jam di beberapa wilayah dari tengah hingga selatan negara itu.