DUNIA

Universiti Yale didakwa salur AS$1 juta kepada badan sokong tentera Israel

Astro Awani 20/09/2025 | 03:45 MYT
Universiti Yale (foto) didakwa menyalurkan AS$1 juta kepada Friends of the Israel Defense Forces (FIDF) melalui program donor-advised fund. -Gambar fail/
WASHINGTON: Universiti Yale didakwa menyalurkan dana sebanyak AS$1 juta (RM4.7 juta) kepada pertubuhan Friends of the Israel Defense Forces (FIDF), menurut pendedahan oleh kumpulan pelajar Yale Endowment Justice Coalition.


Ringkasan AI
  • Universiti Yale didakwa menyalurkan AS$1 juta kepada Friends of the Israel Defense Forces (FIDF) melalui program donor-advised fund, yang membolehkan penderma mencadangkan penerima namun kelulusan akhir tetap di tangan universiti.
  • Kumpulan pelajar Yale Endowment Justice Coalition menyifatkan tindakan itu sebagai menyokong genosid dan pemusnahan sistem pendidikan di Gaza, serta melancarkan kempen alternatif Yalies for Humanity untuk membantu keluarga Palestin dan petugas kesihatan.
  • Pihak pentadbiran Yale belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.


Menurut laporan disiarkan Palestine Chronicle dan Yeni Safak, sumbangan tersebut dikenal pasti melalui semakan dokumen IRS Form 990 Schedule I tahun 2024, yang mengandungi senarai agihan dana melalui program donor-advised fund universiti berkenaan.

FIDF merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan bertujuan mengumpul dana bagi menyokong tentera Israel, termasuk merekrut apa yang dikenali sebagai “lone soldiers” — individu bukan warganegara Israel yang menyertai pasukan pertahanan negara itu.

Kumpulan pelajar tersebut mengkritik program donor-advised fund Yale, dengan menyatakan bahawa universiti itu memberi kuasa kepada penderma kaya untuk mencadangkan penerima dana, namun kelulusan akhir tetap terletak di tangan pihak universiti.

“Yale mengambil alih kawalan undang-undang ke atas dana tersebut, melaburkannya dalam dana endowmen universiti, dan mengagihkannya setiap tahun kepada badan amal yang layak,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan lanjut, Yale Endowment Justice Coalition menyifatkan tindakan universiti itu sebagai menyokong “skolastisida dan genosid” — merujuk kepada pemusnahan sistem pendidikan dan pelanggaran hak asasi manusia di Gaza.

Mereka turut melancarkan kempen alternatif bertajuk “Yalies for Humanity” bagi mengumpul dana untuk keluarga Palestin di Khan Younis dan selatan Gaza serta bagi menyokong petugas kesihatan di wilayah tersebut.

Setakat ini, pihak pentadbiran Yale belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.







#Amerika Syarikat #Palestin #Israel #Universiti Yale #Friends of IDF #Yale Endowment Justice Coalition