DUNIA

UNRWA beri amaran perkhidmatan untuk pelarian Palestin terancam akibat kekurangan dana

Bernama 14/11/2025 | 01:10 MYT
Menurut Lazzarini, UNRWA berdepan kekurangan dana sekitar US$200 juta antara akhir 2025 hingga awal 2026 dan kemungkinan mustahil untuk mengekalkan operasi UNRWA pada skala dan kualiti semasa. - Gambar Reuters
WASHINGTON/HAMILTON: Ketua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) pada Khamis memberi amaran bahawa kekurangan dana yang serius mengancam perkhidmatan penting untuk jutaan pelarian di seluruh rantau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, anggaran pendapatan bagi suku pertama 2026 terlalu rendah untuk menampung defisit besar dari 2025," kata Philippe Lazzarini kepada Jawatankuasa Keempat Perhimpunan Agung PBB di New York.

"Tanpa kemasukan dana baharu yang ketara, penyampaian perkhidmatan kritikal kepada jutaan pelarian Palestin di seluruh rantau akan terjejas," katanya.

Menurut Lazzarini, UNRWA berdepan kekurangan dana sekitar US$200 juta antara akhir 2025 hingga awal 2026 dan kemungkinan mustahil untuk mengekalkan operasi UNRWA pada skala dan kualiti semasa.

Beliau berkata, UNRWA menyumbang 40 peratus daripada perkhidmatan penjagaan kesihatan asas di Semenanjung Gaza serta menyediakan pendidikan kepada ratusan ribu kanak-kanak.

Pengurangan operasi dijangka membawa kesan yang amat serius terhadap kestabilan serantau, khususnya di Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Syria dan Jordan, kata beliau.

Agensi PBB itu berdepan kesukaran kewangan yang semakin meruncing sejak Israel melancarkan tuduhan tidak berasas terhadap UNRWA dengan mendakwa kakitangannya terlibat dalam serangan 7 Okt.

Tuduhan Israel itu mendorong beberapa negara penderma utama termasuk Amerika Syarikat, menggantung atau menangguhkan pembiayaan mereka.

-- BERNAMA



#UNRWA #pelarian Palestin #dana #Philippe Lazzarini