[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
INTERNATIONAL

UNRWA kecam 'hukuman kolektif' terhadap rakyat Palestin, tiada alasan wajar

Bernama 21/04/2025 | 15:11 MYT
UNRWA menegaskan bahawa tiada sebarang alasan yang boleh dijadikan justifikasi terhadap hukuman kolektif ke atas rakyat Palestin. - Reuters
NEW YORK: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Isnin mengecam penderitaan luar biasa yang dialami oleh majoriti penduduk Gaza yang merupakan kanak-kanak, wanita dan lelaki awam, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Menerusi akaun rasmi Twitter, agensi itu menegaskan bahawa tiada sebarang alasan yang boleh dijadikan justifikasi terhadap hukuman kolektif ke atas rakyat Palestin, sambil menggesa gencatan senjata segera.
UNRWA kini mengendalikan 115 pusat perlindungan di seluruh Semenanjung Gaza, yang menempatkan lebih 90,000 orang pelarian.
Agensi itu turut menyatakan bahawa situasi kemanusiaan yang semakin merosot berpunca daripada pengeboman berterusan dan sekatan yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan serta bekalan komersial.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa kira-kira 420,000 orang telah dipindahkan sekali lagi sejak kerajaan pendudukan Israel meneruskan pencerobohannya ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac.
-- BERNAMA
#UNRWA #krisis kemanusiaan #Gaza #Palestin #genosid