DUNIA

UNRWA perbaharui gesaan tamatkan sekatan Israel ke atas Gaza untuk akhiri kebuluran

Bernama 21/07/2025 | 12:30 MYT
UNRWA pada Isnin memperbaharui gesaannya agar sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza ditamatkan bagi mengakhiri kebuluran yang sedang berlaku.
NEW YORK: Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Isnin memperbaharui gesaannya agar sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza ditamatkan bagi mengakhiri kebuluran yang sedang berlaku.

Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), dalam satu hantaran di akaun rasmi X, agensi itu menyatakan: "Kami menerima mesej-mesej terdesak mengenai kebuluran dari Gaza - termasuk daripada rakan sekerja kami sendiri."

UNRWA melaporkan bahawa harga makanan telah melonjak 40 kali ganda, sekali gus menonjolkan kesan kemanusiaan yang amat teruk akibat sekatan berterusan itu.

Agensi itu menambah: "Sementara itu, di pinggir Gaza, UNRWA mempunyai bekalan makanan yang telah ditempatkan lebih awal di gudangnya yang mencukupi untuk menampung keperluan seluruh penduduk untuk tempoh lebih tiga bulan."

UNRWA menggesa agar sekatan ditamatkan segera dan bantuan dibenarkan masuk - dengan selamat dan pada skala besar.

-- BERNAMA



#UNRWA #Gaza #Palestin #Israel