PHNOM PENH: Kedutaan Malaysia di sini akan mempercepatkan urusan membawa pulang 12 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan polis dan imigresen Kemboja bagi proses pembebasan kesemua 12 individu berkenaan dengan 11 daripadanya berada di Sihanoukville manakala seorang lagi di sini.

Beliau berkata 12 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 20 hingga 25 tahun diselamatkan pihak berkuasa Kemboja pada 25 Mac lepas, sebelum ditempatkan sementara di depoh sehingga urusan pembebasan selesai.

"Kalau semua berjalan lancar, kesemua 12 individu itu boleh dihantar pulang ke tanah air sama ada akhir minggu ini atau awal minggu depan bergantung kepada dokumentasi yang mereka ada atau tiada," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kebanyakan mangsa penipuan yang diselamatkan kali ini datang ke Kemboja sejak tahun lepas selepas terpedaya dengan tawaran kerja yang sebenarnya tidak wujud.

Eldeen Husaini berkata pihaknya telah bertemu kesemua mangsa dan memberikan bantuan kaunseling serta kebajikan selain mengambil maklumat terperinci mengenai kejadian sebenar termasuk mendapatkan maklumat bagi mengesan dalang sindiket.

Beliau berkata pihak Kedutaan Malaysia telah menjalankan proses dokumentasi bagi pembebasan serta penghantaran pulang semua rakyat Malaysia itu ke tanah air.

"Sekiranya mereka ada pasport, kita akan keluarkan Emergency Certificate (Sijil Perakuan Cemas) dan juga menjalankan proses-proses visa serta pembelian tiket untuk mereka pulang.

"Kita juga telah menghubungi keluarga mangsa untuk memaklumkan individu ini selamat dan bagi mereka peluang bercakap serta menyatakan mengenai perkara-perkara yang harus mereka lakukan seperti pembelian tiket sehingga dapat pulang," kata Eldeen Husaini.

Beliau berkata pada masa ini, Kedutaan Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa Kemboja untuk mencari 12 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di negara ini.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Sen sempena lawatan rasmi sehari ke sini, memaklumkan setakat ini seramai 287 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan berjaya dibawa pulang ke tanah air.

-- BERNAMA