Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Urusan menjadi anggota tetap ASEAN makin hampir untuk Timor-Leste

Bernama 16/08/2025 | 08:40 MYT
Mohamad berkata, satu upacara untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli tetap ASEAN akan diadakan pada Sidang kemucak ASEAN Oktober nanti.
SEREMBAN: Proses keanggotaan tetap Timor-Leste dalam ASEAN kini berada di peringkat dokumentasi sebelum diterima secara rasmi sebagai anggota penuh pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini.


Ringkasan AI
  • Proses keanggotaan tetap Timor-Leste dalam ASEAN kini di peringkat dokumentasi dan dijangka diterima secara rasmi sebagai anggota penuh pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini.
  • ASEAN menyatakan komitmen untuk membantu Timor-Leste melengkapkan penyertaan dalam perjanjian ekonomi utama dan melaksanakan tanggungjawab sebagai negara anggota.
  • Malaysia menyokong proses ini melalui sumbangan dana dan latihan teknikal kepada pegawai Timor-Leste bagi mempercepat integrasi ke dalam blok serantau.


"Pada sidang kemucak ASEAN Oktober nanti, akan diadakan satu upacara untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli tetap ASEAN, Sekarang ini di peringkat dokumentasi sahaja," kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pemberita hari ini.

"Kebanyakan peraturan Timor-Leste telah patuhi...kita putuskan agar mereka diterima dahulu sebagai ahli tetap, kemudian ASEAN akan bantu mereka dalam melengkapkan proses dokumentasi yang masih belum dipenuhi," katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO, ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian serentak mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

ASEAN mengulangi komitmennya untuk menerima Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 pada Sidang Kemuncak ke-47 blok serantau itu yang bakal berlangsung pada Oktober ini, selaras dengan keputusan yang dibuat pada sidang kemuncak sebelum itu.

Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 pada 9 Julai, para menteri menyatakan komitmen untuk menyokong Timor-Leste dalam mempercepat penyertaannya ke dalam perjanjian-perjanjian ekonomi utama ASEAN bagi memudahkan integrasi sepenuhnya ke blok serantau itu.

"Kami menantikan Timor-Leste melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya sebagai bakal negara anggota serta komitmennya untuk menegakkan prinsip-prinsip asas ASEAN," menurut kenyataan itu.

Timor-Leste, negara termuda di Asia Tenggara, memohon keahlian ASEAN pada 2011, sembilan tahun selepas mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002.

Walaupun prosesnya panjang dan mencabar, Dili menunjukkan komitmen tinggi dalam memenuhi syarat keahlian yang ketat.

Pada Februari lalu, Malaysia mengumumkan sumbangan sebanyak US$200,000 kepada Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN di Jakarta bagi mempercepat proses keahlian penuh.

Malaysia turut menyediakan latihan teknikal menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang melatih 319 pegawai Timor-Leste dalam pelbagai bidang setakat ini.

-- BERNAMA




#ASEAN25 #Timor-Leste #Mohamad Hasan #anggota penuh