DUNIA
Usaha BRICS bawa suara Selatan Global kini makin lantang - PM Anwar

Anwar menegaskan, BRICS memberi harapan baharu, memperjuangkan multilateralisme dan kerjasama antara negara-negara membangun serta kekal menjalin hubungan baik dengan negara-negara maju. - Gambar Bernama
RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha BRICS dalam memperkukuh suara negara-negara membangun kini semakin meyakinkan apabila turut disokong oleh sektor swasta serta komuniti perniagaan global.
Dalam ucapannya di Forum Perniagaan BRICS 2025 yang berlangsung pada Sabtu, beliau menyatakan penghargaan kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva atas keberanian meneruskan visi dan komitmen memperjuangkan aspirasi serta kebimbangan rakyat negara-negara Selatan Global.
“Yang membanggakan dalam usaha BRICS ini bukan semata-mata kerana pimpinan politik, tetapi kerana penyertaan komuniti perniagaan dan sektor swasta yang menjadikan suara keadilan dapat didengari dan dilaksanakan bersama,” katanya.
Anwar menegaskan, BRICS memberi harapan baharu, bukan sekadar retorik atau keluhan terhadap tindakan unilateral seperti tarif dan perlindungan perdagangan, sebaliknya memperjuangkan multilateralisme dan kerjasama antara negara-negara membangun serta kekal menjalin hubungan baik dengan negara-negara maju.“Kita harus bercakap dari kedudukan kekuatan, bukan sebagai negara bekas jajahan tetapi sebagai negara merdeka yang mempunyai kedudukan dan kemampuan tersendiri. Lihatlah bagaimana dari teknologi makanan hingga kecerdasan buatan (AI), kekuatan baharu kini muncul dari ekonomi membangun,” ujar beliau.
Mengulas mengenai ASEAN, Perdana Menteri berkata, rantau itu kini giat meningkatkan perdagangan intra-ASEAN dan turut memperluaskan penggunaan sistem penyelesaian kewangan dalam mata wang tempatan.
“Malaysia dengan Indonesia dan Thailand telah mula menggunakan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan. Kita bukan bercakap soal ‘de-dolarisasi’, kerana masih jauh, tetapi usaha ini memberi kesan. Kita tidak boleh terus merungut tanpa melaksanakan pelan sendiri,” jelas beliau.
Anwar turut menggesa pembaharuan terhadap institusi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia agar lebih adil dan demokratik.
Beliau juga menyeru komuniti perniagaan agar serius mempertimbangkan saranan yang dikemukakan di forum itu, termasuk kolaborasi merangkumi sektor wanita, belia dan masyarakat sivil.
“BRICS hari ini bukan seperti usaha pertama pada tahun 1955 di Persidangan Bandung, ketika kita tidak punya teknologi atau kekuatan industri. Kini, kita ada kepimpinan politik dengan visi dan komuniti perniagaan yang kuat,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Anwar menjemput Lula ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami