BERLIN/WASHINGTON: Dunia masih ketinggalan dalam memenuhi komitmen menghentikan pembasmian hutan menjelang 2030, walaupun kehilangan kawasan hutan mencatatkan penurunan pada 2025, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut laporan penilaian firma perunding Climate Focus, kira-kira tujuh juta hektar hutan dibersihkan di seluruh dunia pada 2025, menurun 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, jumlah itu masih jauh melebihi had maksimum 4.2 juta hektar yang perlu dipatuhi bagi memastikan sasaran 2030 dapat dicapai.
Lebih 100 negara berikrar pada sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow pada 2021 untuk menghentikan dan memulihkan kehilangan kawasan hutan menjelang akhir dekad ini.
Hutan menyerap kira-kira satu pertiga daripada pelepasan karbon dioksida tahunan yang berpunca daripada aktiviti manusia.
Laporan itu mendapati wilayah tropika Afrika kehilangan 2.4 juta hektar hutan pada 2025, hampir menyamai 2.5 juta hektar yang direkodkan di wilayah tropika Amerika Latin.
Pembasmian hutan di wilayah tropika Amerika Latin menurun 33 peratus, didorong oleh langkah yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, namun tiada tanda penurunan direkodkan di Lembangan Congo.
Menurut laporan itu, peluasan kawasan pertanian, pembalakan dan perlombongan merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kehilangan kawasan hutan di Lembangan Congo.
Laporan berkenaan turut memberi amaran bahawa kemajuan yang dicapai sejak kebelakangan ini berisiko terjejas dengan cepat akibat perubahan politik.
Laporan itu turut memberi amaran bahawa kehilangan kawasan hutan yang berterusan boleh meningkatkan risiko hutan hujan Amazon mencapai tahap kritikal sehingga berubah secara kekal menjadi kawasan savana, sekali gus mengancam kestabilan iklim global.
-- BERNAMA-dpa