Ketua kumpulan pemisah Islam Filipina yang berpengaruh menyuarakan sokongan pada Khamis bagi usaha keamanan selepas dakwaan pemberontakan terhadapnya digantung dan pertemuan mengejut diadakan bersama Presiden Rodrigo Duterte.

Pengasas Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF), Nur Misuari, diterbangkan dengan pesawat kerajaan sejauh 900 kilometer dari wilayah selatan ke Manila bagi bertemu Duterte di kediaman rasmi presiden.

“Saya hadir ke sini untuk berterima kasih kepada beliau kerana mengembalikan kebebasan saya, walaupun cuma sebahagian.

“Sekiranya beliau memerlukan kerjasama kami dalam kempen beliau untuk tujuan keamanan, beliau boleh mengharapkan kepada kami," ujarnya.

Misuari, 77, telah bersembunyi semenjak kumpulannya didakwa melancarkan serangan terhadap orang awam di selatan bandar Zamboanga pada 2013, seterusnya kepada pertembungan selama tiga minggu dengan pasukan tentera hingga meragut hampir 200 nyawa.

Bekas kerajaan sebelum Duterte, Benigno Aquino telah mendakwa Misuari dan kumpulannya melakukan keganasan namun dia dapat terus bersembunyi di kepulauan Jolo di selatan dengan dilindungi pengikut setianya yang bersenjata.

Rundingan damai

Misuari yang penuh karisma telah mengasaskan MNLF pada 1972 untuk melancarkan peperangan gerila bagi memisahkan wilayah Islam di selatan daripada keseluruhan Filipina yang majoriti rakyatnya penganut Katolik. Kebanyakan minoriti Muslim Filipina tinggal di bahagian selatan Mindanao.

Penentangan itu juga melibatkan kumpulan pemisah lain hingga meragut lebih 120,000 nyawa dan mengakibatkan Mindanao kekal menjadi daerah termiskin di negara itu.

Misuari menandatangani sebuah perjanjian keamanan bersama kerajaan pada 1996 dan menerima sebuah kawasan autonomi Islam yang dikhaskan dan beliau menjadi gabenor.

Walau bagaimanapun, konflik terus berlaku apabila Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), sebuah organisasi serpihan yang mempunyai keanggotaan melebihi 10,000 pengikut, meneruskan penentangan tersebut. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, MILF dilihat mula membuat rundingan damai.

Misuari dituduh merancang serangan Zamboanga pada 2013 kerana beliau merasakan MNLF telah dipinggirkan daripada rancangan rundingan damai MILF bersama Aquino.

Duterte bercita-cita untuk merangka sebuah perjanjian keamanan bersama kedua-dua kumpulan walaupun beliau belum mengumumkan rancangan kukuh untuk melaksanakan dan menyelesaikan persengketaan tersebut.

Jumlah pengikut bersenjata Misuari dan kawalan kuasa yang dipunyai terhadap MNLF masih tidak diketahui.

Misuari pada Khamis menegaskan bahawa beliau masih berkuasa dan beribu-ribu pengikut dari gerakan penentang lain telah bertukar menajadi pengikutnya.

“Kebanyakan pejuang-pejuang ini berdiri di pihak saya,” ujar beliau.

Duterte juga memberitahu wartawan bahawa beliau sendiri telah mengarahkan dakwaan terhadap Misuari ditarik balik.

Namun, dokumen mahkamah menunjukkan waran tangkap terhadap Misuari hanya 'digantung' selama enam bulan.