INTERNATIONAL
Usaha kemanusiaan di Gaza “hampir lumpuh sepenuhnya” - Palang Merah
Orang awam di Gaza berdepan perjuangan harian yang amat perit untuk terus hidup dalam bahaya pertempuran, perpindahan berterusan, serta kesan akibat kekurangan bantuan kemanusiaan yang mendesak. - Gambar fail Reuters
GENEVA: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada Jumaat memberi amaran bahawa usaha bantuan kemanusiaan di Gaza berada di "ambang lumpuh sepenuhnya" selepas dua bulan sekatan bantuan oleh Israel ke wilayah Palestin itu, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
"Tanpa penyambungan segera penghantaran bantuan, ICRC tidak akan mendapat akses kepada bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan kritikal lain yang diperlukan untuk meneruskan banyak programnya di Gaza," menurut kenyataan ICRC.
Pascal Hundt, Timbalan Pengarah Operasi ICRC berkata: "Orang awam di Gaza berdepan perjuangan harian yang amat perit untuk terus hidup dalam bahaya pertempuran, perpindahan berterusan, serta kesan akibat kekurangan bantuan kemanusiaan yang mendesak."
Beliau memberi amaran "keadaan ini tidak boleh dan tidak sepatutnya dibiarkan terus meruncing."
ICRC menegaskan, di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, "Israel mempunyai kewajipan untuk menggunakan segala cara yang ada bagi memastikan keperluan asas penduduk awam di bawah kawalannya dipenuhi."
"Jika sekatan berterusan, program seperti dapur bersama ICRC - yang sering menyediakan satu-satunya hidangan harian buat orang awam - hanya mampu beroperasi untuk beberapa minggu lagi," menurut kenyataan itu.
ICRC turut memaklumkan, hospital medan yang dikendalikannya di Gaza kini semakin kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan, malah beberapa jenis ubat dan barang guna habis telah kehabisan.
Keadaan kritikal itu bertambah buruk akibat serangan berulang yang menjejaskan operasi kemudahan dan petugas kesihatan, kata ICRC.
"Undang-undang kemanusiaan antarabangsa jelas menyatakan bahawa petugas dan kemudahan perubatan mesti dihormati dan dilindungi dalam semua keadaan," katanya, sambil menambah, "bantuan mesti dibenarkan masuk ke Gaza. Tahanan mesti dibebaskan. Orang awam mesti dilindungi."
Tanpa tindakan segera, Gaza akan terus terjerumus ke dalam keadaan huru-hara yang tidak lagi dapat ditangani oleh usaha kemanusiaan, menurut ICRC.
-- BERNAMA