DUNIA
Usaha politik satu-satunya pendekatan selesai isu nuklear Iran - Duta China

Penyelesaian terhadap isu berkenaan hanya dapat dicapai melalui saluran politik dan kerjasama konstruktif dalam kerangka IAEA. - AP
VIENNA: Usaha politik dan diplomatik merupakan satu-satunya pendekatan yang wajar bagi menyelesaikan isu nuklear Iran, kata wakil tetap China ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Li Song.
Penyelesaian terhadap isu berkenaan hanya dapat dicapai melalui saluran politik dan kerjasama konstruktif dalam kerangka IAEA, dengan syarat hak Iran untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan aman dihormati sepenuhnya, kata beliau.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Lembaga Gabenor IAEA yang meluluskan satu resolusi berhubung isu nuklear Iran pada Khamis.
Resolusi itu dikemukakan secara bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis dan Jerman.Sepanjang mesyuarat berkenaan, negara anggota IAEA terlibat dalam perbahasan sengit mengenai isu berkenaan.
Dalam ucapannya, Li menegaskan bahawa isu nuklear Iran kini berada di persimpangan penting, justeru masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersatu untuk menghidupkan semula dialog berasaskan prinsip saling menghormati.
Langkah-langkah seperti sekatan dan ancaman berbentuk kekerasan harus ditolak, katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak yang terlibat agar berusaha mencapai kesepakatan baharu berlandaskan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).
Beliau juga menyeru pihak berkenaan untuk mengadakan perbincangan sehingga menemui cara penyelesaian yang mengambil kira kebimbangan munasabah semua pihak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami