Usul Brexit gagal: Kepimpinan EU cabar Britain kemuka langkah jelas

Astro Awani
Januari 15, 2019 22:20 MYT
Peserta demonstrasi anti-Brexit bersorak di dataran Parlimen selepas usul Perdana Menteri Theresa May diumumkan gagal, London, 15 Jan, 2019. (Foto AP)
Susulan kekalahan dalam undian usul Brexit di Parlimen, barisan kepimpinan tertinggi Kesatuan Eropah (EU) mencabar Britain untuk tampil dengan satu langkah jelas.
Menerusi muat naik terbaharu di Twitter, presiden Majlis EU, Donald Tusk berkata sekiranya kesepakatan ini gagal dan tiada siapa mahu meneruskan perjanjian ini, apakah jalan penyelesaiannya?
Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker pula menerusi tweet-nya memberi amaran, masa semakin hampir dan meminta Britain mencari langkah penyelesaian secepat mungkin.
Sementara itu, di ibu kota London, ribuan peserta demonstrasi pro-EU gembira apabila anggota Parlimen menolak usul perjanjian Brexit.
Mereka bersorak setelah keputusan diumumkan dan rata-rata memegang sepanduk dengan kata-kata 'Let The People Vote' (Biarkan Rakyat Bersuara).
Keputusan Parlimen Britain tersebut menyaksikan Perdana Menteri Theresa May berkemungkinan besar terpaksa menangguhkan pengunduran negara itu dari EU yang dijadual pada 29 Mac depan.
Beliau mungkin terpaksa mengambil langkah membuka pilihan lain, termasuk pungutan suara kedua, untuk meninggalkan EU tanpa sebarang perjanjian.
#Brexit #Britain #British #demonstrasi #Kesatuan Eropah #London #Parlimen #Perdana Menteri #Theresa May