ROM: Negara-negara G20 setuju cari penyelesaian untuk membantu negara miskin memperoleh lebih banyak vaksin COVID-19.

Antara cadangan dikemukakan termasuk penghasilan vaksin di negara-negara yang kurang maju.

Menurut Menteri Kesihatan Itali, Roberto Speranza, negara G20, sedia menyumbang sumber dan menghantar vaksin ke negara-negara yang lebih rentan.

"Kami ingin mewujudkan keadaan agar penghasilan vaksin dapat dilakukan di beberapa negara kerana tidak mencukupi hanya menerbangkan dan memindahkan dos, yang mana ia merupakan perkara yang tepat untuk dilakukan dan kami komited untuk memperhebatkan.

"Tetapi kami mesti menjadikan negara lain di dunia mampu menghasilkan vaksin. Ini bermaksud berkongsi teknologi, proses kerjasama yang membolehkan kawasan yang berlainan di dunia dapat menghasilkan vaksin dan mempunyai kadar autonomi yang lebih tinggi," katanya.

Negara G20 juga berpendapat inisiatif COVAX yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk perkongsian vaksin perlu diperkukuh.

COVAX adalah mekanisme antarabangsa yang ditubuhkan sebahagiannya untuk berkongsi vaksin sehingga negara miskin tidak perlu bergantung kepada sumbangan.

Tetapi dalam beberapa kes, negara-negara kaya seperti Britain menerima dos melalui COVAX.

Bagaimanapun jumlah vaksin yang dibeli oleh negara-negara kaya seperti Britain melalui COVAX agak kecil susulan bekalan global yang sangat terhad.

Kumpulan 20 negara secara kolektif menyumbang sekitar 80 peratus daripada produk domestik kasar dunia dan sekitar 60 peratus daripada populasi dunia.

Itali kini memegang kerusi Presiden G20.