Vaksin COVID-19: WHO beri amaran kekurangan 2 bilion picagari menjelang 2022

Astro Awani
November 10, 2021 01:45 MYT
WHO beri amaran kemungkinan kekurangan bekalan satu hingga dua bilion picagari untuk pemberian vaksin COVID-19 pada 2022. -Gambar fail/Freepik
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kemungkinan terdapat kekurangan satu hingga dua bilion picagari yang diperlukan untuk pemberian vaksin COVID-19 pada 2022.
Menurut pakar WHO, Lisa Hedman, ini boleh memberi kesan kepada rutin imunisasi dan menjejaskan keselamatan alatan yang digunakan.
Kata beliau, pihak berkuasa kesihatan negara-negara harus merancang keperluan mereka dengan lebih awal untuk mengelakkan timbunan, pembelian panik dan situasi yang dilihat ketika awal pandemik dengan kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE).
Jelasnya, kekurangan jarum suntikan boleh membawa kepada kelangsungan program imunisasi serta kebimbangan keselamatan.
Kekurangan itu juga boleh menyebabkan kelewatan dalam rutin vaksinasi, terutamanya untuk kanak-kanak dan perkhidmatan kesihatan lain.
Hedman juga menyatakan ia boleh membawa kepada masalah penggunaan semula picagari dan jarum yang tidak selamat terutamanya negara-negara miskin.
Kira-kira 6.8 bilion vaksin COVID-19 telah diberikan di seluruh dunia, hampir dua kali ganda jumlah vaksin rutin, berbanding jumlah kapasiti pengeluaran kira-kira 6 bilion picagari imunisasi setahun.
Ini bermakna dunia boleh menghadapi kekurangan sehingga dua bilion picagari tahun depan, melainkan lebih banyak kilang beralih kepada menghasilkan jenis peranti yang sesuai untuk pemberian dos.
#kekurangan picagari #WHO #Vaksin COVID 19 #jarum suntikan