DUNIA

Vance, Rubio kecam undi parlimen Israel berkaitan pengilhakan Tebing Barat

Astro Awani 23/10/2025 | 22:45 MYT
Netanyahu ketika bertemu Vance di Pejabat Perdana Menteri di Jerusalem. - Foto REUTERS
TEL AVIV: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance dan Setiausaha Negara Marco Rubio mengkritik langkah awal parlimen Israel untuk mengilhak wilayah Tebing Barat yang diduduki, menyifatkannya sebagai tindakan politik yang tidak bijak dan berisiko menggugat pelan damai Gaza yang digerakkan oleh Presiden Donald Trump.


Ringkasan AI
  • Kedua-dua pemimpin AS menyifatkan langkah awal Knesset untuk mengilhak Tebing Barat sebagai tindakan politik yang tidak bijak dan berisiko menggugat pelan damai Gaza.
  • Undi 25-24 memberi laluan kepada perbincangan lanjut, namun Perdana Menteri Netanyahu menolak sokongan rasmi daripada parti pemerintah.
  • Lawatan pemimpin AS bertujuan mempercepatkan rundingan melibatkan kerajaan interim Gaza, pengunduran tentera Israel dan perlucutan senjata Hamas.


Pada Rabu, ahli politik sayap kanan di Knesset meluluskan undi awal terhadap rang undang-undang yang bertujuan untuk mengenakan undang-undang Israel ke atas wilayah yang dituntut oleh Palestin sebagai sebahagian daripada negara merdeka yang diimpikan.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan undi tipis 25-24 dan kini akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Pertahanan Knesset sebelum melalui tiga lagi bacaan untuk menjadi undang-undang.

Vance, yang menamatkan lawatan ke Israel, menyifatkan langkah tersebut sebagai “tindakan politik yang sangat bodoh” dan menegaskan bahawa dasar pentadbiran Trump tidak menyokong pengilhakan Tebing Barat.

Rubio pula memberi amaran bahawa tindakan itu boleh menjejaskan fasa kedua pelan damai Gaza yang sedang dirunding.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyelar undi tersebut sebagai “provokasi politik yang disengajakan oleh pembangkang” dan menegaskan bahawa parti Likud serta rakan gabungan ultra-Ortodoks tidak menyokong rang undang-undang itu, kecuali seorang ahli Likud yang telah dipecat daripada jawatan pengerusi jawatankuasa Knesset.

Presiden Trump turut menegaskan dalam temu bual bersama Time bahawa pengilhakan tidak akan berlaku kerana beliau telah memberi jaminan kepada negara-negara Arab.

“Israel akan kehilangan semua sokongan dari Amerika Syarikat jika itu berlaku,” katanya.

Tebing Barat kini menempatkan kira-kira 700,000 penduduk Yahudi di 160 penempatan yang dibina sejak Israel menduduki wilayah tersebut pada tahun 1967.

Penempatan ini dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa, satu pendirian yang disokong oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Kementerian Luar Palestin mengecam langkah Knesset itu dan menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas tanah Palestin.

Lawatan Rubio ke Israel menyusul selepas kunjungan Vance dan dua utusan khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, dalam usaha mempercepatkan rundingan fasa kedua pelan damai Gaza.
Fasa pertama yang melibatkan gencatan senjata, pengunduran separa tentera Israel dan kemasukan bantuan telah mula dilaksanakan awal bulan ini.

Walaupun terdapat insiden maut yang saling dituduh oleh Israel dan Hamas sebagai pelanggaran perjanjian, gencatan senjata masih bertahan.

Fasa kedua dijangka melibatkan penubuhan kerajaan interim di Gaza, penempatan pasukan penstabil antarabangsa, pengunduran tentera Israel sepenuhnya dan perlucutan senjata Hamas.







#Marco Rubio #JD Vance #Israel #Tebing Barat