Vanessa masih sedih dengan kehilangan Kobe, Gianna

Farhana Joni
Januari 30, 2020 06:49 MYT
Vanessa Bryant memuat naik gambar dia, mendiang Kobe dan Gianna serta anak-anaknya di akaun Instagram peribadinya, semalam. - Instagram.
ISTERI mendiang Kobe Bryant masih terkejut dengan kehilangan suaminya yang juga legenda bola keranjang Amerika Syarikat itu.
Vanessa Bryant turut menzahirkan kesedihan atas kehilangan anak keduanya, Gianna, 13, yang terkorban dalam nahas helikopter di California, Isnin lalu.
Menerusi akaun Instagram peribadinya, Vanessa menzahirkan simpati terhadap tujuh lagi mangsa lain dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong serta mendoakan mereka sekeluarga untuk menempuhi tempoh-tempoh sukar itu.
"Situasi kami ketika ini sangat hancur kerana kehilangan suami tersayang, Kobe. Beliau bapa yang hebat kepada anak-anak, dan Gianna anak yang sangat penyayang, diingati dan bijak kepada Natalia, Bianka dan Capri.
"Tiada perkataan yang boleh menggambarkan kesedihan kami sekarang. Saya sangat selesa apabila mengetahui Kobe dan Gigi amat disayangi.
"Kami sangat bertuah memilikinya. Saya berharap mereka berada di sini dengan kami selama-lamanya. Mereka adalah ciptaan terindah yang diambil terlalu awal daripada kami," tulisnya yang telah mengaktifkan akaun media sosialnya itu untuk tatapan umum, semalam.
Vanessa yang berkahwin dengan Kobe pada 2001 turut menyatakan keinginannya untuk terus bersama dengan suami dan anaknya itu selama-lamanya.
"Kasih sayang kami untuk mereka tiada penghujung dan tidak boleh diukur. Saya hanya berharap dapat memeluk, cium dan merestui serta memiliki mereka di sini bersama kami selamanya.
"Terima kasih berkongsi kegembiraan, kesedihan dan menyokong kami. Terima kasih kerana terus mendoakan kami dan menyayangi Kobe, Gigi, Natalia, Bianka, Capri dan saya," tulisnya lagi.
Nahas tersebut turut mengorbankan John Altobelli dan isterinya, Keri serta anak mereka, Alyssa yang merupakan rakan sepasukan bola keranjang Gianna, pembantu jurulatih pasukan perempuan, Christina Mauser, Payton Chester dan ibunya, Sarah Chester.
#bola keranjang #Gianna #Instagram #Kobe Bryant #maut #NBA #Vanessa Bryant