Jepun mengesan varian baharu COVID-19 daripada seorang pengembara dari Brazil.

Mutasi virus ini bagaimanapun berbeza daripada yang dikenal pasti di Britain dan Afrika Selatan.

Jepun kini mengadakan kerjasama rapat bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta pakar untuk menganalisis varian berkenaan.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, varian yang sebelumnya dikenal pasti dari Britain dan Afrika Selatan itu mudah menjangkiti namun reaksi mutasinya belum diketahui.

“Sejak beberapa minggu, WHO telah dimaklumkan oleh Jepun mengenai varian baharu ini. Lagi banyak penularan virus ini, lagi banyak peluang untuk virus ini berubah.

“Apa yang kita faham, jangkitan varian baharu ini meningkat. Ini akan mengakibatkan peningkatan kes dan kemasukan ke hospital turut meningkat yang memberi kesan kepada perkhidmatan kesihatan. Ini yang berlaku apabila kesihatan awam dan pendekatan sosial semakin merosot. Ia akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan.

“Ketika ini varian ini tidak menunjukkan tahap kesan teruk kerana kaedah rawatan juga sedang diperkemaskan. Kita berharap lebih banyak nyawa boleh diselamatkan,” jelasnya.

Ketika banyak negara mula melancarkan program vaksinasi mereka - imuniti kelompok katanya mungkin tidak mampu dicapai tahun ini.