Varian Omicron: Indonesia sahkan kes pertama
Astro Awani
Disember 16, 2021 22:30 MYT
Disember 16, 2021 22:30 MYT
JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia telah mengesan kes pertama varian dibimbangi (VoC) Omicron.
Kes melibatkan seorang pekerja pembersihan di sebuah hospital di Jakarta.
Menurut Menteri Kesihatan Budi Ganadi Sadikin, petugas tersebut tidak bergejala, dan sedang menjalani kuarantin di Hospital Wisma Atlet.
Kes tersebut yang dikesan pada Rabu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.
Kata Budi, tiada penularan dalam kalangan komuniti setakat ini, namun terdapat lima lagi kes yang disyaki dijangkiti varian Omicron.
Daripada lima kes, dua melibatkan rakyat Indonesia yang pulang dari Amerika Syarikat dan Britain.
Manakala tiga lagi kes membabitkan warga China yang menjalani kuarantin di Manado, Sulawesi Utara.