Skip to main content

Dunia

Vatican tidak akan sertai Lembaga Keamanan Gaza

Pietro Parolin, AP
Parolin menegaskan, masih terdapat beberapa perkara yang menimbulkan kekeliruan serta memerlukan penjelasan lanjut. - AP

ANKARA: Vatican memutuskan untuk tidak menyertai Lembaga Keamanan, sebuah badan antarabangsa yang memberi tumpuan terutamanya kepada pembinaan semula pascakonflik di Gaza serta usaha kestabilan global yang lebih meluas, diterajui Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi.

Vatican News melaporkan bahawa Setiausaha Negara Vatican Kardinal Pietro Parolin mengumumkan perkara itu pada Ahad semasa mesyuarat dua hala dengan pegawai Itali di Palazzo Borromeo.

Advertisement

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan sifat khusus lembaga berkenaan yang jelas berbeza daripada negara biasa, dan menyatakan masih terdapat beberapa perkara yang menimbulkan kekeliruan serta memerlukan penjelasan lanjut.

Parolin menegaskan bahawa antara kebimbangan utama ialah prinsip bahawa pengurusan krisis antarabangsa seharusnya dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu pendirian yang berulang kali ditekankan oleh Vatican.

Penolakan tegas ini menyusuli respons lebih berhati-hati pada Januari 2026 apabila Vatican mengesahkan bahawa ia telah menerima jemputan dan masih meneliti kemungkinan penyertaan, sambil menegaskan keperluan memastikan keselarasan dengan undang-undang antarabangsa.

Lembaga Keamanan itu secara rasmi ditubuhkan melalui majlis menandatangani piagam di Davos, Switzerland, pada 22 Jan semasa Forum Ekonomi Dunia, yang Presiden AS Donald Trump, selaku pengerusi, mengesahkan piagam berkenaan bersama anggota pengasas.

Sebahagiannya disokong oleh Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB berkaitan mandatnya di Gaza, lembaga itu kini merangkumi kira-kira 26 negara anggota pengasas, dengan beberapa sumber melaporkan sehingga 35 peserta atau penandatangan.

Kumpulan itu melibatkan negara dari pelbagai rantau termasuk Asia Barat, Asia, sebahagian Eropah dan Amerika Latin.

Pemerhati berpendapat bahawa hakikat lembaga itu tidak berada sepenuhnya di bawah pengawasan rasmi PBB, walaupun menerima sokongan terhad Majlis Keselamatan bagi fungsi tertentu, boleh menimbulkan pelbagai masalah dari segi pelaksanaan dan kesahihan di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video