Venezuela berkabung 7 hari, tuntut Maduro dikembalikan - Pemangku Presiden

Rodriguez mengisytiharkan tujuh hari berkabung bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam serangan Amerika Syarikat (AS) di Caracas. - Gambar fail Reuters
CARACAS: Pemangku Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez mengisytiharkan tujuh hari berkabung bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam serangan Amerika Syarikat (AS) di Caracas.
Rodriguez turut menuntut pemulangan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, yang kini berada dalam tahanan AS di Pusat Tahanan Metropolitan, Brooklyn, New York.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dadah dan senjata pada Isnin.
“Tiada perang di sini kerana kami bukan negara yang berperang. Kami adalah rakyat, sebuah negara yang cintakan keamanan, tetapi telah diserang dan dianiaya,” tegas Rodriguez.
Kerajaan Venezuela setakat ini belum mengumumkan jumlah rasmi korban atau kecederaan akibat serangan AS, namun Peguam Negara memaklumkan tiga pegawai telah dilantik untuk menyiasat kematian yang dianggarkan “berpuluh-puluh” orang.
Pada Ahad, kerajaan Cuba mengesahkan 32 rakyatnya terbunuh dalam operasi yang menyasarkan Maduro. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


