DUNIA

Venezuela gagalkan serangan terhadap Kedutaan AS di Caracas

Bernama 07/10/2025 | 09:15 MYT
Venezuela mengumumkan bahawa pihaknya berjaya menggagalkan cubaan serangan terhadap Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Caracas. - Foto REUTERS
MEXICO CITY: Venezuela mengumumkan bahawa pihaknya berjaya menggagalkan cubaan serangan terhadap Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Caracas, yang didakwa Presiden Nicolas Maduro sebagai usaha mencetuskan keganasan di tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan Washington, lapor agensi berita Jerman dpa.

Pada Isnin, Maduro dipetik agensi berita kerajaan AVN sebagai berkata bahawa mereka yang bertanggungjawab merancang serangan itu masih bebas tetapi dipercayai berada di dalam negara dan kini diburu pihak berkuasa.

Hubungan antara Venezuela dan AS dilaporkan semakin merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini berikutan tuduhan Washington terhadap kerajaan Caracas berkaitan penyeludupan dadah.

Presiden Donald Trump sebelum ini berkata pasukan tentera AS menyasarkan beberapa bot di Laut Caribbean yang didakwa membawa dadah, mengorbankan lebih 20 orang.

Operasi itu mencetuskan kritikan selepas White House pada awalnya tidak menjelaskan asas undang-undang bagi serangan itu.

Menurut laporan The New York Times, Trump mengarahkan supaya usaha diplomatik dengan Caracas dihentikan selepas kecewa dengan keengganan Maduro melepaskan kuasa serta kerajaannya terus menafikan sebarang penglibatan dalam pengedaran dadah.

Akhbar itu melaporkan bahawa keputusan itu juga menamatkan rundingan terus antara Maduro dan utusan khas Trump, Richard Grenell, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan tindakan ketenteraan selanjutnya terhadap pengedar dadah atau kerajaan Venezuela.

Media tempatan melaporkan bahawa Maduro telah mengutus surat kepada Pope Leo XIV bagi memohon bantuan Vatican dalam mengekalkan keamanan di negara itu.

Maduro, yang menggantikan mentornya Hugo Chavez pada 2013, terus kekal berkuasa walaupun berdepan dakwaan manipulasi pilihan raya serta krisis ekonomi dan politik yang berpanjangan di Venezuela.

-- BERNAMA



#Venezuela #Kedutaan Amerika Syarikat #Kedutaan AS di Caracas #gagalkan serangan