DUNIA

Venezuela gesa OPEC tangani ancaman Amerika Syarikat

Agensi 01/12/2025 | 23:10 MYT
Presiden Maduro menggesa OPEC membantu Venezuela menghadapi “ancaman haram yang semakin meningkat” daripada Amerika Syarikat dan Presiden Donald Trump. - Gambar AP
CARACAS: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menggesa Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) membantu negaranya menghadapi “ancaman haram yang semakin meningkat” daripada Amerika Syarikat (AS) dan Presidennya, Donald Trump.

Dalam sepucuk surat kepada negara anggota OPEC, Maduro menuduh Washington cuba “merampas” rizab minyak Venezuela yang merupakan terbesar di dunia.

“Saya berharap dapat mengharapkan usaha terbaik anda untuk menghentikan pencerobohan ini, yang semakin kuat dan mengancam keseimbangan pasaran tenaga antarabangsa, baik bagi negara pengeluar mahupun pengguna,” kata Maduro, menurut salinan surat yang disiarkan penyiar negara, TeleSUR.

Maduro turut “secara rasmi mengecam” penggunaan kekerasan ketenteraan terhadap wilayah, rakyat dan institusi negara itu kepada OPEC dan kumpulan lebih besar OPEC+.

Venezuela memiliki rizab minyak terbukti terbesar dunia, dianggarkan 303 bilion tong setakat 2023, namun hanya mengeksport minyak mentah bernilai AS$4.05 bilion pada tahun sama, jauh lebih rendah berbanding negara pengeluar utama lain, sebahagiannya akibat sekatan AS ketika pentadbiran Trump.

Sebagai pengasas OPEC bersama Iran, Iraq, Kuwait dan Arab Saudi pada 1960, Venezuela memainkan peranan penting dalam usaha mengawal bekalan minyak dan mempengaruhi harga global.

Ketegangan memuncak

Surat Maduro hadir sehari selepas Trump menulis di platform Truth Social bahawa ruang udara Venezuela ditutup sepenuhnya, tanpa memberikan penjelasan lanjut.

“Untuk semua syarikat penerbangan, juruterbang, pengedar dadah dan pemerdagang manusia, sila anggap RUANG UDARA DI ATAS DAN SEKITAR VENEZUELA DITUTUP SEPENUHNYA,” tulis Trump.

Caracas menyifatkan kenyataan itu sebagai “ancaman kolonialis.”

Kerajaan Maduro mendakwa, kehadiran ketenteraan AS yang semakin meningkat di Caribbean bertujuan menguasai rizab minyak dan gas negara itu, walaupun Washington mendakwa ia untuk memerangi pengedaran dadah.

Data rasmi AS bagaimanapun menunjukkan Venezuela bukan sumber utama dadah ke negara itu.

Sekurang-kurangnya 83 orang terbunuh dalam serangan AS ke atas kapal yang didakwa membawa dadah, yang dikritik kumpulan hak asasi sebagai pembunuhan luar proses undang-undang.

AS turut menghantar aset ketenteraan besar ke rantau Caribbean termasuk kapal pengangkut pesawat terbesar dunia, USS Gerald R Ford, kapal perang lain, ribuan tentera dan jet pejuang F-35.

Trump sebelum ini berjanji meningkatkan pengeluaran minyak, selaras dengan janji kempen pilihan raya 2023 untuk “drill, baby drill.”

Pada akhir November, pentadbiran Trump mengumumkan rancangan baharu untuk menggerudi minyak di pesisir California dan Florida buat kali pertama dalam beberapa dekad.

Sebaliknya, banyak negara pulau di Caribbean menggesa peralihan kepada tenaga alternatif kerana mereka berdepan bencana alam yang semakin kerap dan teruk akibat perubahan iklim. - Agensi



#Venezuela #OPEC #ancaman Amerika Syarikat #Nicolas Maduro